Kaut untung jual minyak masak peket sebagai minyak terpakai

Kaut untung jual minyak masak peket sebagai minyak terpakai

ARMIZAN Mohd. Ali menunjukkan barangan rampasan pemrosesan minyak masak bersubsidi selepas sidang media khas Ops Tiris 3.0 di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Beli minyak masak bersubsidi dengan harga RM2.50 sepeket, kemudian dicampur dengan minyak masak terpakai dan dijual semula antara RM3 hingga RM3.80 sekilogram.

Itu modus operandi satu sindiket yang membeli minyak masak peket ber­subsidi daripada syarikat pembung­kus, kemudian dicampur dengan mi­nyak masak terpakai sebelum dijual pada harga lebih tinggi di pasaran.

Taktik itu akhirnya berjaya dikesan pihak berkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi serbuan Op Tiris, Selasa lalu.

Operasi itu dijalankan secara berasingan di sebuah rumah di Taman Kajang Jaya, Kajang dan premis perniagaan di Bandar Rinching, Semenyih.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, serbuan sekitar pukul 12 tengah hari sehingga tengah malam itu dilakukan oleh pasukan penguatkuasa KPDN selepas menerima aduan awam.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kedua-dua premis itu berjaya menemukan anggaran 14,340 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi pelbagai jenama yang telah dipotong bungkusan dan disimpan di dalam tangki jenis IBC (intermediate bulk container) selain sebahagian yang masih belum dibuka.

“Serbuan pertama melibatkan sebuah kediaman yang disyaki telah dijadikan sebagai stor haram untuk menjalankan kegiatan memotong minyak masak peket 1kg bersubsidi dan dimasukkan ke dalam tong simpanan.

“Minyak masak yang telah dipotong dan dikumpul itu kemudiannya akan dihantar ke sebuah premis perniagaan yang membeli dan menjual minyak masak terpakai. Di situ, minyak masak berkenaan akan dicampur dengan minyak masak terpakai,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, premis perniagaan itu disyaki berselindung di sebalik perniagaan membeli dan menjual minyak masak terpakai dengan menjadikannya sebagai lokasi pengumpulan dan pengedaran minyak masak tanpa lesen yang sah.

Jelasnya, minyak masak yang telah dicampur itu kemudiannya akan dijual sebagai minyak masak terpakai pada harga sekitar RM3.80 sekilogram kepada pihak industri dipercayai untuk kegunaan biodesel.

“Harga minyak masak bersubsidi adalah RM2.50 sepaket, bila sudah dicampur dengan minyak masak terpakai, sindiket berkenaan boleh jual antara RM3 hingga RM3.80 sekilogram.

“Jadi, kita anggarkan sindiket yang dikesan telah beroperasi sejak enam bulan lalu itu mampu mengaut keuntungan kira-kira RM20,000 sehari hasil daripada penyelewengan minyak masak yang dilakukan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, selain rampasan minyak masak, pihaknya turut menyita beberapa peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan kegiatan haram itu seperti hos penyambung, pam bermotor, telefon bimbit dan beberapa buah tangki IBC, tiga buah lori serta sebuah kereta mewah yang secara keseluruhan dianggarkan berjumlah RM429,850.

Katanya lagi, seramai 15 individu terdiri daripada 11 lelaki warga asing dan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Mahkamah Majistret Kajang telah meluluskan permohonan reman bagi kesemua individu yang ditahan itu selama empat hari bermula semalam sehingga 16 November,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak terbabit.

Pada masa sama, beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas bakal diambil termasuk menggantung dan membatalkan lesen mana-mana individu atau syarikat sekiranya didapati melakukan kesalahan sehingga menyebabkan berlakunya ketirisan minyak masak bersubsidi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN