KOTA TINGGI: Sebanyak 21 lokasi bank makanan akan diwujudkan di negeri ini bagi menangani konflik antara gajah dan manusia.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, setakat ini empat lokasi bank makanan telah beroperasi dan dalam proses disiapkan termasuk di Santuari Gajah Johor (JES) di Hutan Simpan Panti, dekat sini.
“Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama universiti sudah membuat kajian dan kaedah terbaik adalah kita adakan bank makanan bagi gajah-gajah tersebut.
“Kita tidak mahu lakukan tangkapan translokasi atau cederakan gajah-gajah tersebut, cara terbaik kita menggunakan cara semula jadi dengan bekalkan makanan yang secukupnya kepada hidupan liar ini.
“Oleh itu, kita sudah ada cadangan lokasi untuk mengadakan food bank dalam negeri ini dan telah kenal pasti 21 kawasan tersebut termasuk JES ini adalah salah satu cadangan untuk kita adakan food bank kepada gajah-gajah liar ini,” katanya selepas melawat Santuari Gajah Johor di Kota Tinggi, di sini.
Katanya, lokasi bank makanan itu akan diwujudkan di laluan kumpulan gajah berkeliaran, khususnya di tiga daerah, iaitu Kota Tinggi, Kluang dan Mersing.
Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pemilik ladang bagi membina bank makanan melibatkan penanaman rumput napier, pokok pisang dan tebu melibatkan kawasan kira-kira satu hektar.
Tian Soon berkata, antara langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang diambil bagi mendepani isu gajah termasuk pemasangan kolar satelit pada gajah liar, proses tangkap pindah atau translokasi, penubuhan pasukan tindakan awal peringkat komuniti dan ladang serta kerjasama dengan universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN










