NARATHIWAT, THAILAND: Rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara ini termasuk untuk tujuan berhibur perlu menjaga tingkah laku dan patuh undang-undang sedia ada sepanjang berada di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Ahli Parlimen Narathiwat Bilal Mat Yusoff berkata, ia bagi menggelakkan mereka berdepan masalah sekiranya didapati melanggar undang-undang.
“Thailand tidak berkompromi dengan penyalahgunaan dadah sebab itulah bila keluar berita berkait dengan rakyat Malaysia datang berhibur, kerajaan keluarkan arahan supaya pihak berkuasa membuat pemeriksaan di tempat hiburan.
“Pemeriksaan untuk melihat wujud penyalahgunaan dadah atau sebaliknya di pusat hiburan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam, mengulas mengenai enam rakyat Malaysia yang ditahan bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah pusat hiburan minggu lalu.
Bilal berkata, pemeriksaan awal sudah dilakukan di kawasan tersebut dan amaran dikeluarkan kepada pengunjung supaya tidak terlibat dengan pelanggaran undang-undang.
“Melancong tiada masalah, namun jangan buat perkara salah sebab, pihak berkuasa akan ambil tindakan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, golongan muda dari negeri ini gemar ke kelab malam di Golok untuk berhibur setiap kali hujung minggu iaitu pada malam Jumaat dan Sabtu.
Malah ada dalam kalangan mereka menunggu ‘syif’ atau giliran untuk memasuki kawasan tersebut sebelum berhibur.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat itu disampaikan rakan sejawatannya yang mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Menurutnya, kebanyakan anak muda berkunjung ke negara jiran itu dipercayai menggunakan laluan haram malah ada dalam kalangan mereka baru berusia belasan tahun.










