Dua penjual kereta mengaku tidak salah curi barang kemas 

Dua penjual kereta mengaku tidak salah curi barang kemas 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua penjual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak dan bersubahat mencuri barang kemas, tiga bulan lalu. 

Mengikut pertuduhan, eksekutif penjual kereta, Muhammad Aizat Zakaria, 34, didakwa merompak seutas rantai emas milik seorang lelaki, R. Nirmalan yang mengakibatkan mangsa kerugian  RM1,617.

Rakannya, Muhammad Imran Abdullah, 31, yang juga bekerja sebagai eksekutif penjual kereta didakwa bersubahat melakukan rompakan terhadap mangsa  sama dan menjual hasil rompakan tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai di Jalan Selinsing 4, Taman Kuching di sini pada pukul 7 petang, 12 Ogos lalu. 

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebat atau denda, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd. Latip tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana pertuduhan membabitkan kesalahan yang tidak boleh dijamin. 

“Namun, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap tertuduh,” kata Nidzuwan.

Bagaimanapun, peguam bela G. Maniggandan yang mewakili Muhammad Aizat dan peguam bela, Sitti Zainah Zainal yang mewakili Muhammad Imran merayu agar anak-anak guam mereka dikenakan jaminan yang rendah.

Hakim Siti Shakirah Mohtaruddin menetapkan wang jamin RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh. Mahkamah mentapkan 13 dan 14 Januari hadapan bagi sebutan semula kes. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN