Wanita status ibu terjebak ketagih vape

Wanita status ibu terjebak ketagih vape

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menghisap vape atau vaping dalam kala­ngan wanita seolah-olah menjadi kebiasaan apabila mereka tanpa segan silu menghisap rokok elektronik itu tempat awam sekaligus menimbulkan kebimbangan kesihatan serta stigma sosial terhadap wanita.

Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 mendedahkan seramai 1.36 juta dewasa menggunakan vape dengan 1.23 juta lelaki (10.5%) dan 94,000 wa­nita (0.8%).

Fenomena ini membimbangkan kerana ia mewujudkan ketagihan dan tiada kesedaran berhenti, biarpun tahu ia memberikan implikasi negatif kepada kesihatan.

Kajian menunjukkan bahan kimia dalam vape memberi kesan lebih besar berbanding rokok biasa kerana partikel asapnya lebih halus dan cepat memasuki sistem badan.

Seorang suri rumah, Airi, 22, mengaku menghisap vape setiap hari dan hanya berhenti ketika mengandung serta berpantang, namun tidak berkekalan kerana ketagihan.

“Saya pernah berhenti semasa hamil dan dalam tempoh pantang, tetapi sekejap sahaja dan kembali menghisapnya.

“Keluarga mertua menegur tidak manis seorang perempuan bertudung vaping, namun, saya anggap ini pilihan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Airi menghisap vape tiga tahun lalu kesan pengaruh rakan sekeliling yang turut menggunakan peranti berkenaan.

Pengakuan Airi itu sepadan dengan tinjauan Utusan Malaysia yang mendapati, rata-rata wanita menggunakan peranti tersebut terjebak akibat pe­ngaruh rakan sebaya di usia muda sewaktu bersatus bujang dan meneruskan tabiat berkenaan sehingga berstatus isteri.

Pelajar, Ying, 22, menggunakan vape sejak tujuh tahun lalu pada usia 15 tahun kerana pengaruh rakan sebaya dan tidak pernah terfikir menghentikan tabiat tidak sihat itu.

“Saya menggunakannya setiap hari dan tidak terfikir untuk berhenti walaupun mula mengalami sesak nafas,” katanya.

Pekerja swasta, Dee, 20, terpengaruh dengan rakan atas rasa ingin tahu, dan mencuba vape pada usia 18 tahun.

“Setiap kali selepas rehat makan tengah hari atau ketika berasa tertekan, saya menggunakan vape. Bila orang sekeli­ling mula mengeluarkan vape, memang sukar menahan diri. Dari segi mental, vape menjadi cara mengalih perhatian dari kerja walaupun bukan penyelesaian. Sekarang saya dah kurang kerap sebab cepat penat dan mulut jadi kering, sudah masuk sebulan saya berhenti kerana faktor kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Psikologi Kanan, Pusat Perkhid­matan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Zulfikar Ahmad berkata, penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan wanita berkait rapat dengan faktor budaya, psikologi dan strategi pemasaran industri.

Perisa pelbagai dan reka bentuk feminin menjadikan vape lebih digemari kerana tidak berbau kuat serta tidak memberi kesan sosial sama seperti rokok konvensional, dengan vape meninggalkan kesan le­bih ‘wangi’ dan menarik minat wanita untuk mencuba.

Katanya penggunaan vape semakin diterima kerana dianggap lebih ‘bebas’, kurang bau dan tidak dilihat sama seperti rokok konvensional, walaupun hakikatnya kesannya hampir sama.

“Industri vape mengambil kesempatan daripada persepsi dengan mensasarkan pengguna wanita melalui reka bentuk berwarna-warni dan pelbagai perisa manis.

“Daripada sudut psikologi, vape sering dijadikan medium pelepasan tekanan atau emosi, khususnya bagi wanita yang berdepan stres berpanjangan manakala dari segi fisiologi pula, wanita lebih terkesan kerana sistem hormon mereka berkait rapat dengan emosi dan tingkah laku.

“Sebarang ketidakseimba­ngan hormon, apatah lagi akibat kemasukan bahan kimia daripada vape, boleh memberi kesan terhadap emosi, corak pemikiran dan tingkah laku. Fenomena ini menunjukkan keperluan kesedaran awam serta pendidikan kesihatan berte­rusan bagi mengurangkan risiko penggunaan vape dalam kala­ngan wanita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN