KULAI: Teka-teki ke mana dua beradik warga emas yang tidak kelihatan beberapa hari lalu terjawab apabila mereka ditemukan meninggal dunia di kediaman keluarga di Jalan Selendang, Taman Mewah, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee mengesahkan menerima laporan berkaitan dua warga emas itu yang berusia 65 dan 67 tahun daripada jiran yang terhidu bau busuk dari rumah tersebut.
“Siasatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah mengenai kematian pasangan adik beradik lelaki dan wanita itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut buat masa ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.37 tengah hari, semalam.
Beliau berkata, enam anggota bomba dan sebuah fire rescue tender (FRT) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai ke lokasi kejadian.
Menurutnya, dua warga emas termasuk seorang perempuan dan seorang lelaki didapati terkunci dalam rumah.
Katanya, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi mendapati kedua-duanya mangsa meninggal dunia. – UTUSAN