BALING: Seorang pemandu teksi melecur di muka dan tangan selepas kenderaan dipandunya terbakar dalam kejadian di Jalan Kuala Ketil, Kampung Batu 4, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa, Zulkaria Isa, 50, cedera akibat bahang api ketika cuba membuka bonet kereta jenis Proton Persona yang terbakar.
Isteri mangsa, Hijrawati Samsul, 45, berkata, kejadian berlaku ketika suaminya itu dalam perjalanan untuk mengambil penumpang di Kuala Ketil, dekat sini.
“Bahagian enjin teksi tiba-tiba terbakar dan suami sempat memberhentikan kereta itu di tepi jalan. Difahamkan suami cedera akibat terkena bahang api daripada teksi yang terbakar itu,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.58 pagi tadi.
“Sebaik tiba di lokasi didapati kebakaran teksi telah dipadam oleh anggota bomba sukarela dari Kuala Ketil,” ujarnya. – UTUSAN










