BAGAN SERAI: Bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas di dalam parit di Kampung Jalan Baharu Matang Jelutong di sini, kelmarin tidak dapat menahan sebak apabila dia sendiri yang menemukan mayat anaknya di dasar parit.
Mohd. Shahrizal Abu Othman, 43, berkata, dia menemukan mayat anaknya, Ahmad Khalif, 11, di dasar parit selepas kira-kira 10 minit mencarinya.
Menceritakan kejadian tersebut, katanya, dia mendapat tahu anaknya lemas kira-kira pukul 5 petang ketika bertugas di Hospital Parit Buntar.
Dia bergegas pulang dan ke tempat kejadian serta melihat penduduk kampung sedang mencari anaknya.
“Saya terjun ke dalam parit dan selepas hampir 10 minit melakukan pencarian, saya menemukan jasad anak di dasar.
“Saya terpaksa menyelam dua kali bagi mengambil nafas kerana kedalaman parit itu melebihi lapan kaki sebelum dapat menaikkan jasad anak ke permukaan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, sebelum ini anaknya itu ada memintanya untuk menyewa sebuah inap desa yang mempunyai kolam renang pada minggu depan bagi menghadiri majlis perkahwinan ibu saudaranya di Penaga di Pulau Pinang.
“Saya tidak menyangka permintaannya itu merupakan petanda yang dia pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.
Menurutnya, anaknya itu memang sering keluar rumah bersama rakan sebaya yang tinggal kampung itu untuk pergi memancing.
Sementara itu, jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Jaya di sini pada pukul 11 malam semalam. – UTUSAN










