KUALA LUMPUR: Pakar daripada firma penyiasatan antarabangsa menyatakan wang yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah digunakan bagi faedah ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho, sekutunya dan keluarga mereka.
Richard Templeman yang juga pengarah Kroll Advisory Ltd menyatakan, wang yang diseleweng itu disalurkan ke syarikat-syarikat pesisir luar sebelum ia digunakan bagi tujuan tersebut.
Antara `kegunaan’ wang tersebut menampung aktiviti perjudian Jho Low dan sekutunya, Eric Tan Kim Loong di Las Vegas.
Kroll Advisory merupakan firma penasihat antarabangsa dengan kepakaran dalam penstrukturan semula dan insolvensi, kewangan korporat, perakaunan dan penyiasatan forensik serta perkhidmatan pemulihan aset rentas sempadan dan pemiutang.
Templeman berkata demikian pada perbicaraan kes saman 1MDB dan tiga anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited selaku plaintif terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah dua syarikat lelaki berkenaan iaitu Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited serta firma guaman di Amerika Syarikat, Shearman & Sterling.
Tuntutan saman yang difailkan itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dimulakan oleh 1MDB terhadap sembilan entititi termasuk dua institusi kewangan luar dan 25 individu dalam usaha mendapatkan semula asetnya.
Menurut penyataan saksinya, Templeman menyatakan pada 20 Jun 2012, sebanyak AS$41 juta telah dimasukkan ke dalam akaun syarikat Red Granite Capital.
Tambahnya, wang-wang tersebut dipindahkan ke Red Granite Capital melalui syarikat samaran (shell company), Alsen Chance Holding Limited yang dimiliki Kim Loong dan digunakan untuk menyeleweng wang daripada 1MDB.
“(Daripada jumlah tersebut) sejumlah AS$13 juta telah dipindahkan ke akaun Las Vegas Sands LLC yang mana sebanyak AS$12 juta ditandakan sebagai kegunaan `Player NO 3454296′ (Jho Low) dan baki AS$2 juta ditandakan sebagai ” Tan Kim Loong Player NO 4678710. Siasatan menunjukkan bahawa Las Vegas Sands LLC ialah sebuah syarikat kasino dan resort.
“Sebanyak AS$2,787,401 pula dibayar kepada Royal Jets di antara 9 dan 23 Julai 2012. Pembataran ini ditandakan sebagai `Perkhidmatan Penerbangan Peribadi’,” kata saksi itu.
Selain itu, Templeman turut yang mempunyai pengalaman dalam penyiasatan penipuan dan jenayah kewangan yang kompleks turut menyatakan Riza juga menerima berjuta-juta wang daripada Good Star Limited, sebuah syarikat milik Jho Low sejak 2011.
Untuk rekod, pada 2009 dan 2011, Good Star masing-masing menerima AS$700 juta dan AS$330 juta daripada 1MDB.
Menurut writ saman yang difailkan pada 7 Mei 2021, 1MDB dan anak-anak syarikatnya mendakwa kesemua defendan telah menerima kira-kira AS$248 juta dalam dana yang dilesapkan daripada plaintif antara 2011 dan 2012.
Wang-wang itu didakwa digunakan untuk kepentingan diri dan sekutu, termasuk bagi tujuan pembiayaan produksi filem dan pembelian pelbagai hartanah.
1MDB mendakwa firma guaman Shearman & Sterling membenarkan Riza serta ‘sekutunya’ Jho Low menggunakan akaun klien di firma itu untuk mengubah sejumlah besar dana yang diselewengkan.
Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa Riza bertanggungjawab atas dana yang dilesapkan dan diterima atas alasan penerimaan berpengetahuan atau secara alternatifnya penolongan tidak jujur.
Writ saman itu juga menyebut, plaintif-plaintif berhak untuk dibayar balik dana yang dilesapkan dan diterima defendan pertama atas alasan menjadi kaya secara tidak adil (unjust enrichment).
Sementara itu menurut penyataan pembelaan Riza dan dua syarikatnya, dia mendakwa memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC ) untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat dan bukannya daripada dana 1MDB.
IPIC merupakan syarikat yang ditubuhkan di Abu Dhabi yang pada ketika itu Pengarah Urusannya adalah Khadem Abdullah Al-Qubaisi, yang merupakan bekas pembantu Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan iaitu Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan juga ahli keluarga diraja. – UTUSAN










