14 projek tebatan banjir Pantai Timur lambat disiapkan

14 projek tebatan banjir Pantai Timur lambat disiapkan

14 projek tebatan banjir di Pantai Timur hadapi masalah pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah 14 Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pantai Timur menghadapi kelewatan pelaksanaan berikutan masalah pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terdapat 26 projek RTB secara kese­luruhan di kawasan itu dengan kos berjumlah RM8 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, satu sudah siap iaitu projek RTB Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang manakala 10 lagi dalam peringkat prapelaksanaan.

“Daripada 10 ini, lima sudah diiklankan untuk mendapatkan tender manakala lima lagi masih dalam proses reka bentuk. 15 lagi projek RTB dalam pro­ses pelaksanaan. Yang berada dalam peringkat pelaksanaan, satu projek mengikut jadual dan 14 projek menghadapi masalah disebabkan masalah pengambilan tanah yang agak lewat dan juga pengalihan utiliti.

“Kita sedang menyelesaikan masalah tanah dan diharapkan dapat diselesaikan segera,” katanya menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Berhubung kelewatan projek itu, Fadillah berkata, pihaknya mengikuti apa yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan melalui pekeliling yang membolehkan lanjutan masa diberikan kepada kontraktor.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap bersama pihak kontraktor untuk memastikan pelaksanaan ini dapat disegerakan malah pemantauan secara rapi akan dilaksanakan.

“Pada masa sama, sebagai penyelesaian jangka pendek, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja-kerja kecil di bawah projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir dengan peruntukan RM70 juta yang telah disalurkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 2022 dan 2023,” katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 1,050 sebut harga dengan skop utama kerja-kerja pengaluran sungai dan juga kerja-kerja penstabilan tebing sungai serta menaik taraf struktur sungai bagi meningkatkan kualiti air sungai.

“Bagi tahun ini, RM16.8 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 391 sebut harga yang dijangkakan siap pada Disember 2024,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×