JASIN: Setelah beberapa hari berdiam diri berhubung isu penggantungan Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin, Ketuanya, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub akhirnya mengesahkan bahawa bahagian itu digantung daripada terlibat dalam proses pemilihan yang berlangsung pada 26 Oktober dan 2 November ini.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka itu turut memberi gambaran polemik berkenaan berkemungkinan didalangi kelompok tertentu yang cuba menghalangnya bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Meskipun tidak menamakan ‘dalang’ terlibat, Mohd. Yadzil berkata, sebagai pemimpin yang memegang kedudukan tertinggi dalam parti di negeri ini, sudah pasti dirinya menjadi sasaran lawan.
NORMAL
“Rentetan desas-desus mengatakan Bersatu Bahagian Jasin digantung, saya mengesahkan perkara tersebut dan ia adalah proses normal pengurusan parti untuk pastikan pemilihan berjalan lancar tanpa ada masalah.
“Namun dalam politik, sudah menjadi adat dalam pertandingan pastinya ada persaingan. Apa yang boleh saya katakan, sebagai pemimpin yang memegang kerusi tertinggi parti dalam negeri, sudah pasti menjadi sasaran pihak lawan.
“Apatah lagi, saya merupakan antara calon Ahli MPT yang diramalkan menang, sudah pasti akan ada usaha-usaha menggagalkan kejayaan saya. Melaka merupakan antara negeri yang mempunyai kesatuan yang kuat antara setiap bahagian di bawah kepemimpinan saya, sudah pasti juga menjadi rebutan setiap calon yang bertanding untuk mendapat undi kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, keputusan Mohd. Yadzil membatalkan mesyuarat enam cawangan dikatakan menjadi punca MPT menggantung Jawatankuasa Bersatu Bahagian Jasin berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan perkara itu menerusi surat bertarikh 14 Oktober 2024 kepada Mohd. Yadzil yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka.
Sumber parti mendakwa, Mohd. Yadzil membatalkan mesyuarat enam cawangan kerana mereka menyatakan sokongan kepada Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Jasin, Jeehan Adam yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bersatu Bahagian Jasin.
Tambah Mohd. Yadzil, penggantungan itu tidak memberi kesan kepada ahli-ahli bahagian termasuk jawatan-jawatan yang ditandinginya dalam pemilihan parti.
“Apa pun, saya kekal taat kepada kepemimpinan parti. Dalam tempoh dua minggu terakhir ini, saya ingin ingatkan kepada semua, apa sahaja boleh berlaku,” ujarnya. – UTUSAN










