Tiada parkir punca ramai tidak datang ke Kompleks Pasar Raja Bot

Tiada parkir punca ramai tidak datang ke Kompleks Pasar Raja Bot

JOHARI Abdul Ghani diberi penerangan sewaktu melawat di Kompleks Pasar Raja Bot di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketiadaan tempat letak kenderaan di Kompleks Pasar Raja Bot di Jalan Raja Alng di sini menjadi faktor orang ramai enggan ke pasar itu untuk membeli barangan keperluan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sehubungan itu, masalah tersebut akan dibawanya dalam pertemuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jumaat depan.

Menurutnya, isu parkir dibangkitkan memandangkan kesesakan yang berlaku pada fasa transit pasar itu sekali gus mengurangkan kehadiran pengunjung.

“10 tahun lepas mereka bersetuju untuk buat pembangunan tetapi oleh kerana pembangunan ini mengambil masa begitu lama, banyak pelanggan mereka semua sudah lari. Apabila Fasa 2 sudah siap dan mereka dipindahkan ke dalam, tiada orang ingin datang.

“Kenapa orang tidak mahu datang? Pertama, tempat letak kenderaan tiada. Jadi, siapa nak datang ke pasar ni? Selain itu, saya lihat di kawasan ini keutamaannya untuk lebih kepada buat pembangunan daripada tempat letak kenderaan.

“Justeru, perlu dibuatkan tempat letak kenderaan terlebih dahulu. Kalau tiada di Kuala Lumpur ini macam mana orang mahu datang ke pasar ini? Jadi, selepas ini para penjaja tiada lagi alasan untuk mengatakan orang tidak datang sebab ketiadaan tempat letak kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kompleks Pasar Raja Bot, hari ini.

Terdahulu, peniaga di Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit belum bersedia untuk berpindah ke Kompleks Pasar Raja Bot kerana bimbang jualan mereka menurun akibat kekurangan pelanggan.

Tinjauan mendapati, keadaan di Kompleks Pasar Raja Bot masih lagi sunyi berikutan peniaga masih berniaga di lokasi lama.

Mengulas lanjut, Johari berkata, beliau turut mencadangkan kepada tiga persatuan yang terlibat dalam menguruskan pasar itu agar mengambil perkhidmatan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi melancarkan pergerakan trafik di fasa transit.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Putera Kuala Lumpur (WPKL), Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, beliau mahu semua peniaga untuk berpindah ke kompleks baharu itu bagi mengelak pembangunan oleh kerajaan dibazirkan atau disia-siakan.

“Kita tidak mahu pasar baharu yang dibina ini menjadi projek ‘gajah putih’ seperti pasar di Selayang. Di Selayang, kita masukkan semua peniaga tetapi kita tidak dapat kawal peniaga-peniaga yang ada di sekitar kawasan jalan, tepi jalan termasuk Rohingya dan sebagainya.

“Selain itu, kita juga lihat DBKL hari ini tidak membuat kawalan sepenuhnya. Banyak peniaga-peniaga yang mengubah suai. Ada meja (disediakan) tetapi dia (peniaga) meletakkan lagi (meja) supaya dapat berniaga di hadapan sehingga laluan keluar masuk menjadi susah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN