Teater klasik "Pelayaran Panglima Awang" di auditorium DBP November ini

Teater klasik “Pelayaran Panglima Awang” di auditorium DBP November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peminat seni teater tanah air dijemput untuk menyaksikan persembahan teater klasik, Pelayaran Panglima Awang, yang akan dipentaskan pada 2 dan dan 3 November ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Menurut pengarah teater ini, Hazzley Abu Bakar, teater ini bukan sahaja menampilkan elemen sejarah tetapi turut menyampaikan mesej semangat patriotisme serta keberanian dalam menghadapi penjajahan.

Kata beliau, dengan gaya pengarahan yang penuh dramatik dan sinematografi yang mengagumkan, beliau berharap agar teater berkenaan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai sejarah Melayu.

“Pelayaran Panglima Awang menyingkap kisah wira Melayu, Panglima Awang, yang tidak banyak diceritakan dalam sejarah Melayu.

“Kisah ini bermula ketika era penjajahan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511, apabila Panglima Awang bersama rakan-rakannya melancarkan pemberontakan gerila demi mempertahankan tanah air daripada penjajah.

“Namun, perjuangan mereka membawa Awang kepada detik hitam apabila beliau tertangkap dan dibawa ke Portugal. Dari situ, kisahnya berlanjutan kepada perjalanan epik yang membawanya mengelilingi dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Teater yang merupakan idea asal oleh Prof. (Emeritus) Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh ini telah diterbitkan oleh Razali Hussain serta naskhah yang ditulis oleh Anwar Pisang.

Turut menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Ain Suffia, Md. Hussain, Ika Angah Lj, dan Dean Sitara, yang bakal menghidupkan kisah keperkasaan Panglima Awang di pentas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN