‘Takut ketinggalan’ punca belia ramai bankrap

‘Takut ketinggalan’ punca belia ramai bankrap

SIKAP golongan belia itu sendiri ya­ng tidak bijak menguruskan wang dan ingin hidup bergaya mengikuti trend terkini menjadi faktor utama menyumbang kepada peningkatan kes ­bankrap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap ‘takut ketinggalan’ atau Fear Of Mis­sing Out (FOMO) dalam diri golongan muda antara punca yang menjerumuskan mereka kepada muflis atau bankrap di awal usia.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Insolvensi setakat Mac 2024, seramai 206,066 jumlah kes ke­bankrapan yang diuruskan oleh jabatan itu dengan golo­ngan umur 35 tahun hingga 44 tahun paling ramai bankrap yang mencatatkan sebanyak 10,489 kes.

Daripada jumlah tersebut, Selangor mencatatkan jumlah keseluruhan kebankrapan pa­ling tinggi iaitu sebanyak 6,364 kes diikuti dengan Wilayah Persekutuan (3,442 kes) dan Johor Bahru 2,254 kes.

Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir berkata, faktor utama menyumbang kepada peningkatan kes ­bankrap itu adalah sikap golongan belia itu sendiri ya­ng tidak bijak menguruskan wang dan ingin hidup bergaya mengikuti trend terkini.

Katanya, sikap itu banyak menjerumuskan golongan belia ke arah muflis sehingga sanggup membuat pinjaman peribadi dan menggunakan kad kredit tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

“Mereka terlalu takut ke­tinggalan dengan trend terkini contohnya kalau lelaki nak beli kereta mahal-mahal.

“Untuk perempuan, suka membeli-belah barangan berjenama tetapi duit tidak ada. Mereka pula tidak fikir panjang, buat pinjaman peribadi atau gunakan kad kredit dan akhirnya tidak boleh bayar serta bankrap,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan, sebanyak 53,000 individu bawah 30 tahun sudah dibebani hutang berjumlah hampir RM1.9 bilion.

Hutang itu meliputi pinjaman peribadi, kad kredit terutama skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL)’ yang dilihat semakin meningkat.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Mohd Faisol Ibrahim berkata, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) wajar memperketat lagi syarat kelayakan khususnya pinjaman peribadi untuk me­ngurangkan kes muflis kepada golongan muda.

Katanya, walaupun langkah tersebut dilihat bakal merencatkan keuntungan kepada pihak bank, ia perlu bagi me­ngurangkan risiko kebankrapan.

“Ini adalah langkah yang sangat baik supaya anak muda dapat dielakkan daripada terjerat dengan bankrap dan dapat menaikkan kualiti hidup mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN