SPRM jangka lebih banyak safehouse akan digeledah

SPRM jangka lebih banyak safehouse akan digeledah

AZAM Baki semasa ditemui pada Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 di SICC, Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan ada lagi safehouse lain akan digeledah susulan penemuan wang tunai di sebuah safehouse di Lembah Klang pada Sabtu.

Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini ada tambahan dua safehouse telah digeledah yang dikatakan ada menyimpan wang, salah satu daripadanya ada penemuan kira-kira SGD7,400 (RM243,000) dan satu tempat lagi di pejabat, dijumpai lebih daripada RM78,000.

“Kita juga mendapat maklumat ada wang telah dibuat pelaburan di Singapura tapi yang itu saya tidak boleh didedahkan berapa jumlahnya, siapa pemiliknya. Rasanya akan ada lagi penemuan-penemuan di safehouse lain,” katanya selepas Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan jumlah tangkapan setakat ini adalah empat orang iaitu tiga lelaki dan seorang wanita. 

Katanya, daripada yang ditahan, seorang masih direman sehingga 15 Oktober ini berkaitan dengan seorang pengarah syarikat.

Katanya, ada seorang lelaki pernah bertugas di syarikat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan lelaki itu berusia 45 tahun, namun dia hanya ditahan reman semalam kerana mempunyai kanser prostat.

“Ada seorang berjawatan pemandu berusia 43 tahun yang direman selama tiga hari dan telah pun dibebaskan. Wanita yang ditahan adalah bekas seorang pegawai kewangan sebuah syarikat konsesi pasir dan berusia 46 tahun. Dia telah direman tiga hari dan dibebaskan,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak menafikan ada penglibatan seorang ahli politik ternama, namun tidak boleh didedahkan nama ahli politik berkenaan.

Katanya, ahli politik tersebut akan dipanggil untuk membantu siasatan pada masa yang difikirkan sesuai.

“Seperti mana lazimnya, kita perlu mendapat segala bukti-bukti yang kita rasa wajar, yang kita perlukan dan telah disahkan barulah orang berkenaan akan dipanggil. 

“Saya memang tidak akan menolak atau menafikan ahli politik itu akan dipanggil selepas kami atau pegawai penyiasat berpuas hati tentang beberapa lagi penemuan dokumen dan wang yang berkaitan,” katanya.

Menurutnya, sekarang ini lebih kurang 15 saksi telah dipanggil dan dijangka lebih ramai saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Azam berkata, kertas siasatan akan dibuka di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN