KUALA LUMPUR: Setiap peruntukan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 perlu diawasi dengan teliti untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan tidak mengalami ketirisan dan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan rakyat.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, walaupun tiada projek mega diumumkan dalam belanjawan kali ini, pemantauan ketat terhadap peruntukan besar kepada agensi-agensi kerajaan adalah amat penting.
“Kita perlu memastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan berhemah dan mematuhi tujuan asal, tanpa penyelewengan.
“Ketirisan bukan sahaja akan membebankan kewangan negara, malah akan menjejaskan kredibiliti kerajaan dalam menguruskan sumber negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Father and Their Wisdom di Royal Lake Club, di sini semalam.
Terdahulu, media melaporkan sejumlah RM421 bilion diperuntukkan untuk Belanjawan 2025 merangkumi sekitar 20.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), dengan RM335 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM86 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Mengulas lanjut, Rafidah juga menekankan dialog bersama sektor swasta dan persatuan-persatuan perlu diadakan lebih kerap untuk memastikan peruntukan diberikan memberi manfaat yang nyata kepada semua lapisan masyarakat.
Kata beliau, dalam usaha memastikan integriti perbelanjaan, sistem pemantauan perlu diperketatkan di semua peringkat daripada kerajaan persekutuan hingga ke institusi bawahan.
“Belanjawan bukan sekadar alat untuk meraih sokongan politik atau undi. Jika kerajaan benar-benar melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat, sokongan akan datang secara semula jadi tanpa perlu membeli undi melalui imbuhan atau projek yang tidak relevan.
“Cadangan untuk pemantauan berkala setiap enam hingga tiga bulan juga diusulkan bagi membendung sebarang bentuk penyelewengan sebelum ia menjadi lebih parah,” katanya.
Selain itu, Rafidah berkata, pendekatan menyeluruh juga perlu dimaklumkan kerajaan dalam pelaksanaan subsidi. – UTUSAN










