Seorang pemilik rumah takut tanah runtuh berulang

Seorang pemilik rumah takut tanah runtuh berulang

KEADAAN tanah runtuh di Taman Melawati, ekoran hujan lebat berterusan yang melanda di ibu negara, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penduduk di Taman Melawati, Ampang masih takut untuk pulang ke rumahnya  kerana bimbang dengan risiko tanah runtuh akan berlaku lagi.

Shireen Nik Ibrahim, 54, berkata, dia hanya pulang sesekali ke rumah untuk melihat keadaan tanah runtuh di sebelah kediamannya dan mengambil beberapa barang keperluan.

“Saya dan seorang anak berusia 26 tahun yang menetap sekali, risau untuk pulang ke rumah kerana sekarang masih lagi musim hujan.

“Untuk elak sebarang kejadian tidak diingini, seeloknya saya menumpang di rumah ibu sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat dan tanah sudah stabil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dia yang sudah menetap di kawasan perumahan itu sejak 24 tahun lalu berkata, anaknya yang melihat kejadian tanah runtuh pada minggu lalu melalui  trauma beberapa hari.

“Ambil masa empat ke lima hari untuk dia betul-betul pulih daripada  trauma dan rakan-rakannya juga membantu pulihkan emosinya.

“Saya harap mana-mana pihak bertanggungjawab memaklumkan kepada penduduk tentang kerja-kerja baik pulih yang dijalankan supaya kami tidak tertanya-tanya bagaimana keadaan semasa,” katanya.

Terdahulu, keadaan tanah runtuh  dilaporkan stabil dengan tiada pergerakan baharu dicatatkan di lokasi di Jalan E6, Taman Melawati.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar ketika melakukan tinjauan di lokasi kejadian pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kerja-kerja pembersihan dan pemuliharaan cerun telah diserahkan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bermula dari hari kejadian sehingga kini.

“Kami menurut arahan dan nasihat daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dari semasa ke semasa dan penduduk tidak perlu bimbang untuk pulang ke kediaman masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN