KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas, Nyam Fock Suan, 87, tetap bersemangat meneruskan minatnya sebagai tukang jahit yang diceburi sejak kira-kira 66 tahun lalu di kedainya di Gong Kapas, di sini.
Pada usia tersebut, bapa kepada lima anak itu masih mampu menyiapkan tempahan jahitan dan mengubah suai pakaian lelaki dan perempuan.
Fock Suan berkata, dia meminati bidang jahitan sejak berusia belasan tahun, mula mengikuti latihan dan bekerja di sebuah kedai jahit di sini.
Menurutnya, dia kemudian memulakan perniagaan sendiri dengan membuka kedai jahit yang disewa di Gong Badak pada 1958 dan kedai tersebut disewa sehingga sekarang.
Katanya, ketika itu, dia menjahit pakaian seperti seluar, baju kemeja dan baju Melayu serta pakaian wanita dibantu oleh isterinya, Lim Lee yang meninggal dunia 2019, pada usia 80 tahun.
“Perniagaan saya ketika itu dijalankan secara kecil-kecilan kerana tidak mempunyai modal besar dan kebanyakan pelanggan dalam kalangan orang Melayu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Bagaimanapun, Fock Suan berkata, pada masa ini, dia tidak menerima banyak tempahan jahitan dan memberi tumpuan kepada mengubah suai pakaian kerana bimbang tidak mampu menyiapkan tempahan kerana melakukannya seorang diri, selain faktor usia.
“Kebanyakan pelanggan tetap mahu saya menjahit pakaian mereka kerana selesa dipakai serta harga upah pula murah,” katanya.
Tambah Fock Suan, kelima-lima anaknya yang kini berusia 56 hingga 65 tahun, tidak mengikut jejaknya menjadi seorang tukang jahit sebaliknya menceburi bidang lain.
“Saya tidak memaksa mereka ikut jejak saya, jadi selagi terdaya, saya akan menjahit kerana ia sudah sebati dengan diri saya,” katanya. – UTUSAN