Segera wujudkan akta tangani kes buli

Segera wujudkan akta tangani kes buli

Kerajaan disyor wujudkan undang-undang dan unit khas tangani jenayah buli. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera mewujudkan akta khusus bagi menangani gejala buli termasuk buli siber dalam kalangan pelajar dari peringkat rendah hingga universiti yang dilihat semakin membimbangkan.

Meskipun cadangan untuk mewujudkan Akta Anti-Buli pernah disuarakan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pada 2017, namun sehingga kini akta itu masih belum dibincangkan dengan serius, apatah lagi digubal.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fazril Saleh berkata, memandangkan Malaysia masih belum mempunyai akta khas khusus bagi menangani isu buli, maka kes-kes buli ketika ini hanya merujuk kepada Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Memuatkan artikel berkaitan…

PENYELESAIAN

Namun, katanya, Akta 611 dilihat tidak khusus untuk penyelesaian kepada kes buli yang berlaku dalam institusi pendidikan.

“Kami percaya bahawa pembentukan undang-undang khusus untuk pencegahan buli akan memberi mesej jelas mengenai keseriusan masalah ini dan menyediakan rangka kerja yang lebih komprehensif untuk menangani semua jenis buli.

“Selain daripada perundangan, kami juga mencadangkan kepada kerajaan untuk menekankan kepentingan pendidikan kesedaran dan pembentukan polisi sekolah yang lebih tegas untuk menangani kes buli,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes buli di sekolah walaupun pelakunya membabitkan anak menteri.

Fadhlina berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai membuat siasatan berhubung kes buli terbaru didakwa membabitkan anak selebriti Rustam Mustafah.

Menurut beliau, KPM ingin memastikan seluruh ekosistem persekolahan selamat untuk seluruh pelajar.

Mengulas lanjut, Fazril berkata, akta khusus bagi mencegah buli itu boleh mengenakan denda yang berbeza bagi dua kumpulan umur iaitu di bawah 18 tahun dan 19 tahun ke atas.

“Bagi pelaku di bawah umur 18 tahun, undang-undang Malaysia perlu lebih cenderung kepada pendekatan pemulihan dan pendidikan berbanding hukuman keras, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta 611. Hukuman perintah penjagaan dan khidmat masyarakat juga boleh dikenakan terhadap mereka.

“Namun, bagi pelaku berumur 19 tahun dan ke atas, Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat jika kes buli itu melibatkan keganasan atau kecederaan fizikal.

“Pelaku boleh dikenakan denda, penjara, atau kedua-duanya, bergantung kepada tahap kesalahan yang dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini