PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa melakukan rombakan melibatkan pegawai kesihatan atau jururawat senior di setiap hospital kerajaan.
Ia berikutan terdapat dakwaan kes buli masih lagi berlaku di Utara Semenanjung ketika ini melibatkan doktor pelatih selain kematian seorang pakar perubatan di Hospital Lahad Datu, Sabah pada 29 Ogos lalu.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK), Dr. Muhammad Yassin berkata, KKM harus mengambil tindakan tegas terhadap isu buli yang semakin membimbangkan.
“KKM perlu memandang isu ini dengan lebih serius dan perlu menghukum mereka yang bersalah. Jangan sembunyikan sebarang kes buli yang berlaku.
“Selain itu, rombakan boleh dilakukan sejajar dengan saranan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk membuat rombakan kerja dan perjawatan dalam setiap agensi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, sekumpulan doktor pelatih di sebuah hospital daerah di utara Semenanjung mendakwa menjadi mangsa buli dengan bebanan kerja melampau.
Doktor pelatih berkenaan memberitahu, mereka dipaksa bekerja melebihi waktu kerja sepatutnya dan pernah bertugas sehingga 24 jam sehari, tidak termasuk dipanggil bekerja (on call) tanpa mengira waktu.
Selain itu, mereka juga ditindas berkaitan hak kelayakan cuti tahunan serta sering dimaki hamun oleh pegawai perubatan senior termasuk jururawat jika ada kes pesakit yang di luar kuasa doktor pelatih.
Mengulas lanjut, Muhammad Yassin berkata, polisi sedia ada dalam menangani isu buli di tempat kerja masih lagi belum berjaya meskipun pasukan petugas untuk menyiasat kejadian buli dalam kementerian itu sudah ditubuhkan pada 2022.
“Polisi sedia ada masih belum mampu menangani isu buli ni. KKM perlu melihat semula dapatan jawatankuasa menangani isu buli di kalangan pekerja kesihatan yang ditubuhkan pada 2022,” katanya.
Semalam, penubuhan pasukan petugas khas bebas KKM bagi menyiasat insiden kes kematian pakar perubatan patologi dari Hospital Lahad Datu, Sabah yang didakwa akibat dibuli di tempat kerja akan berkuat kuasa pada 10 Oktober 2024
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan yang melibatkan lima ahli bebas bukan anggota KKM itu mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti perubatan, psikiatri, patologi, kesihatan mental serta perlakuan buli. – UTUSAN









