KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan hampir RM900 juta bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat termasuk dua projek PRR baharu di Port Dickson dan Seberang Perai Tengah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 30 projek PRR dijangka siap penghujung 2025 yang bakal memanfaat hampir 17,500 penghuni baharu.
Selain itu, beliau berkata, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) telah meluluskan RM12.8 bilion jaminan kerajaan kepada lebih 57,000 pembeli rumah pertama.
“Kerajaan juga bersetuju menyeragamkan dan menaikkan bantuan bina baharu rumah rakyat antaranya penghuni PPRT, nelayan dan Kampung Baru Cina kepada maksimum RM90,000.
“Kadar siling baik pulih rumah rakyat juga ditingkatkan kepada maksimum RM20,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam.
Dalam pada itu katanya, rumah strata kos rendah dan sederhana awam diselenggara termasuk mengganti lif-lif usang dengan peruntukan hampir RM200 juta.
Menurutnya, selain itu sebanya 48 buah Taman Awam Madani dinaik taraf meliputi kawasan rekreasi serta landskap serba indah di bandar dan pekan kecil dengan peruntukan hampir RM100 juta.
Kampung Baru Cina pula katanya, diperuntukkan RM84 juta antaranya untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti. KPKT juga diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan di perkampungan kaum India. – UTUSAN










