GOLONGAN muda mampu menjana pendapatan lumayan sehingga puluhan ribu ringgit semusim jika komited mengusahakan tanaman padi khususnya dalam skala besar. Namun ketika ini, hanya sekitar lima peratus anak muda terlibat dalam sektor pertanian sekali gus mencetuskan kebimbangan masa depan beras negara jika tiada lagi pelapis mengusahakan tanaman itu.
KANGAR: Dianggap kotor, memerlukan tenaga fizikal yang kuat, meletihkan dan tidak menjamin pendapatan lumayan. Itu antara punca mengapa tidak ramai atau sekitar lima peratus sahaja anak muda terlibat dalam sektor pertanian khususnya penanaman padi.
Difahamkan, golongan terlibat dalam sektor pertanian di negara ini adalah tenaga kerja yang lebih 70 peratus daripadanya adalah petani berusia lebih 60 tahun.
Di Perlis yang juga salah sebuah negeri menyumbang kepada penghasilan beras negara, tidak sampai 10 peratus anak muda terlibat dengan kerja-kerja di bendang ini dengan majoritinya adalah mereka berusia 50 tahun dan ke atas sehingga yang berusia 70 tahun juga dilihat masih bertahan mengusahakan sawah.

Situasi ini sangat membimbangkan jika satu hari nanti atau dalam tempoh 10 tahun akan datang sudah tidak ada lagi anak muda atau pelapis yang mengusahakan tanaman padi. Ia sekali gus bakal memberi kesan kepada penghasilan beras negara yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, jika anak muda komited dan bersungguh-sungguh mengusahakan tanaman padi khususnya dalam skala yang besar, ia sebenarnya mampu membantu menjana pendapatan yang cukup lumayan.
JANA PENDAPATAN LUMAYAN
Bagi seorang anak muda, Che Fariz Izani Che Ya,36, dari Semadong, Beseri di sini, dia mampu menjana pendapatan bersih sehingga RM40,000 semusim atau RM6,000 sebulan dengan mengusahakan tanaman padi.
Namun bagi menjana pendapatan yang agak baik itu, pesawah khususnya dalam kalangan anak muda ini perlu fokus ketika mengusahakan tanaman tersebut yang jika diambil kira sebenarnya hanya memerlukan dua bulan sahaja bekerja secara bersungguh-sungguh dengan selebihnya hanya memantau.
Katanya, dia mula mengusahakan tanaman padi sejak berusia 22 tahun dengan di peringkat awal secara sampingan di kawasan seluas satu hektar milik keluarga.
Ujarnya, selepas itu, sedikit demi sedikit dia mengembangkan tanaman tersebut dengan menyewa kawasan sawah yang sehingga kini sudah mencecah 20 hektar.

Kata Che Fariz, dia tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya terus serius dengan kerja-kerja penanaman padi ini sehingga mampu memiliki jentera sendiri termasuk dron.
“Jika dahulu di peringkat awal, pendapatan saya hanya RM3,000 semusim dan kini pendapatan bersih sudah boleh mencecah RM40,000 semusim selepas ditolak semua kos termasuk kos sewa bendang sekitar RM35,000.
“Satu musim, saya mampu menjana hasil sekitar 80 tan metrik meskipun tidak dinafikan terdapat banyak juga cabaran khususnya berkaitan aspek pengairan di mana di kawasan Semadong ini, kami hanya bergantung kepada sumber air daripada hujan dan empangan Timah Tasoh di sini,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
PERLU KOMITMEN, KESUNGGUHAN
Menurut Che Fariz yang juga Ketua Unit Semadong, mengusahakan tanaman padi memerlukan fokus dan bersungguh-sungguh.
“Tanam padi ini bukan lama, dua bulan sahaja kena sungguh-sungguh selepas itu pantau dari segi penyakit dan lain-lain. Jika kita bersungguh-sungguh, ia mampu menjana pendapatan yang lumayan atau agak selesa.
“Kalau hendak mengusahakan tanaman padi ini secara sepenuh masa, kita sekurang-kurangnya memerlukan kawasan tanaman seluas tiga hektar dan ke atas,” katanya yang memaklumkan di kawasan Semadong hanya terdapat tujuh ke lapan pesawah muda dan selebihnya berusia atas 60 tahun.
MASA DEPAN BERAS NEGARA
Sementara itu, dia bimbang mengenai masa depan beras negara jika tidak ada golongan muda yang berminat mengusahakan tanaman padi.
Katanya, kebanyakan pesawah berusia 50 atau 60 tahun ke atas dan dikhuatiri tidak ada pelapis selepas ini yang mahu mengusahakan tanaman secara serius.
“Ramai anak muda tidak minat tanam padi kerana mereka beranggapan kerja yang kotor dan teruk. Kita perlu berusahalah jika ingin mendapat hasil lebih baik,” kata bapa kepada dua anak itu.

Dia kini mengetuai seramai 42 peserta di Kampung Semadong yang menjadi perintis pelaksanaan ladang benih padi sendiri di kawasan seluas 50 hektar bagi membantu masalah kekurangan bekalan benih.
Seorang lagi pesawah muda, Mohd. Asrul Nordin,35, berkata, dia mampu menjana pendapatan RM20,000 semusim dengan mengusahakan tanaman di kawasan kira-kira 10 hektar di Bintong.
Katanya yang melakukan kerja-kerja bendang sejak berusia 20 tahun, dia juga menggunakan jentera sendiri seperti lori, mesin padi dan traktor.
GUNA TEKNOLOGI TERKINI
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan (Keusahawanan) Jabatan Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Atikah Nor Johari berkata, antara langkah untuk menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian khususnya dalam bidang penanaman padi adalah dengan mengubah kaedah pertanian menggunakan teknologi terkini dan lebih moden seperti pertanian pintar.

Di samping itu, katanya, kerajaan boleh melihat keperluan memberi insentif dan mengadakan bengkel kemahiran yang berfokus kepada kemahiran praktikal, inovasi, penggunaan teknologi, pemasaran digital serta kemahiran keusahawanan dalam pertanian.
“Selain itu, menggalakkan pengguna membeli produk tanaman tempatan selain membuka kawasan pertanian baharu secara kelompok serta menawarkan sistem pemasaran tanpa orang tengah dan menganjurkan pameran pertanian tempatan di luar negara.
“Diharapkan dengan melaksanakan langkah-langkah ini, sektor pertanian boleh menjadi lebih menarik pada sudut pandang mata golongan muda seterusnya memastikan kesinambungan dan kemajuan sektor ini di Malaysia,” katanya.
Katanya, semakin sedikit golongan muda yang berminat melibatkan diri dalam pertanian bakal menyebabkan kemerosotan tenaga kerja muda dalam sektor berkenaan seterusnya menjejaskan pembangunan dan kelestarian industri pertanian negara.
“Sikap ini juga boleh menghalang inovasi dan pembaharuan dalam bidang pertanian kerana golongan muda sering membawa idea baharu dan teknologi terkini yang boleh memajukannya,” katanya. – UTUSAN










