Rasuah lombong pasir: SPRM geledah 6 lagi premis

Rasuah lombong pasir: SPRM geledah 6 lagi premis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menggeledah enam lagi premis mempunyai kaitan dengan seorang ahli politik berkait kes rasuah berhubung konsesi perlombongan pasir.

Penggeledahan yang dibuat membabitkan sebuah unit kediaman dan lima pejabat di sekitar ibu negara.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tindakan itu hasil siasatan susulan SPRM selepas menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh dan menemukan sejumlah mata wang asing bernilai kira-kira RM5 juta pada Sabtu lalu.

Selain itu, tindakan diambil juga adalah rentetan penggeledahan SPRM di dua lagi tempat penyimpanan wang pada keesokannya sebelum menemukan wang tunai termasuk mata wang asing dengan nilai keseluruhan sebanyak RM321,000.

“Jumlah keseluruhan premis diserbu dan digeledah oleh SPRM adalah sembilan lokasi di ibu negara dan setakat ini, belum masih tahu lagi sama ada terdapat sebarang rampasan wang atau dokumen.

“Ini kerana tindakan masih diambil oleh SPRM,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, sumber berkata, sebanyak 25 saksi telah dipanggil SPRM sejak siasatan dimulakan.

“Hari ini sebanyak 11 individu telah dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.

“Reman seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) yang ditahan baru-baru ini juga telah disambung lima hari bermula hari ini,” jelasnya.

Pada 12 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek termasuk bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

Hasil penahanan itu, tiga pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh digeledah SPRM.

Pada penggeledahan pertama sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta ditemukan manakala satu daripada serbuan dilakukan turut menemukan sejumlah wang tunai lebih kurang SG$74,000 atau RM243,000.

Kemudian di satu lagi tempat ditemukan wang lebih kurang RM78,000.

Siasatan awal SPRM, wang yang ditemukan dipercayai disimpan untuk kegunaan ahli politik berkenaan bagi aktiviti politiknya.

Selain, wang ini dipercayai diberikan oleh seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya dan disimpan oleh ahli perniagaan yang direman atas arahan ahli politik berpengaruh terbabit.

Kira-kira 15 akaun bank milik beberapa individu dan syarikat telah dibekukan dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×