IPOH: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Pas Perak dan tiga ahli parti itu telah dipanggil memberi keterangan berhubung himpunan kibar Jalur Gemilang yang berlangsung di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Sabtu lalu.
Dua wakil rakyat itu ialah ADUN Gunung Semanggol yang juga Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan ADUN Selinsing, Sallehuddin Abdullah.
Kelima-lima mereka dipanggil untuk diambil keterangan oleh polis kerana mengadakan himpunan tanpa notis kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kesemua lelaki termasuk dua ADUN sebuah parti politik itu dipanggil selepas pihak polis menerima kebenaran perintah untuk menyiasat (OTI) daripada pendakwa raya pada Ahad lalu.
Katanya, rakaman percakapan terhadap kelima-lima individu itu dibuat semalam.
“Kertas siasatan himpunan ini telah lengkap dan akan dihantar ke Bahagian Perundangan (D5) Bukit Aman untuk nasihat, seterusnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, lapan laporan diterima polis setakat ini membabitkan himpunan yang berlangsung dalam tempoh lebih sejam dengan disertai lebih 300 orang peserta.
Katanya, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun dan berucap di tempat awam tanpa pemakluman kepada polis.
“Hasil semakan mendapati perhimpunan itu dijalankan tanpa menghantar notis makluman kepada pihak polis, jadi kita jalankan siasatan berdasarkan kesalahan itu, bukan atas kesalahan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di tempat awam,” katanya.
Terdahulu, lebih 300 individu dilaporkan membanjiri Dataran Menara Condong Teluk Intan, Sabtu lalu, susulan insiden bendera negara China dikibarkan oleh peserta Sambutan Guan Gong Sedunia.
Pada perhimpunan tersebut, Razman hadir memberi ucapan tanpa pembesar suara di hadapan kumpulan itu. – UTUSAN










