KOTA BHARU: Orang ramai perlu memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berkaitan kes penyelewengan dana zakat berjumlah RM230 juta.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata, tindakan membuat spekulasi berhubung kes tersebut dibimbangi boleh memberikan kesan negatif kepada urusan zakat.
“Kita perlu tunggu pihak SPRM membuat siasatan. Kita tidak boleh mengganggu atau mencampuri bahagian penyiasatan ini sebab itu bukan bidang kuasa kita.
“Pesan saya, tenang dulu, bagi pihak berkuasa buat kerja dan jangan kita buat spekulasi. Yang penting bagaimana kita hendak memurnikan keadaan supaya masyarakat tenang. Jangan jadi ejen perpecahan atau pergaduhan sehingga negatif tersebar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas penahanan dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana zakat kira-kira RM230 juta semalam.
Terdahulu beliau menyantuni pelajar tadika yang menyertai kursus haji cilik di Masjid Jamek Muhammadi di sini hari ini.
Mengulas persepsi negatif yang timbul terhadap institusi zakat susulan kes tersebut, Marhamah mengakui perkara itu memberi kesan kepada keyakinan masyarakat, namun menegaskan bahawa ujian sebegini bukanlah sesuatu yang baharu.
“Di zaman Rasulullah pun ada penyelewengan, apatah lagi di zaman sekarang. Kita tidak boleh elak ujiannya,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana zakat kira-kira RM230 juta.
Kedua-duanya berusia 57 dan 61 tahun itu dibenarkan direman bermula hari ini oleh Majistret Ameera Mastura selepas mereka dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini.
Terdahulu, dua suspek yang memakai baju lokap jingga tiba di mahkamah itu dengan dikawal ketat anggota SPRM, kira-kira pukul 9.07 pagi.-UTUSAN










