Pertuduhan cacat, pengawal keselamatan lepas, bebas tuduhan sebab kematian

Pertuduhan cacat, pengawal keselamatan lepas, bebas tuduhan sebab kematian

CHONGKUL Echang bersalam dengan Opat Aisin (kanan) selepas selesai prosiding di Mahkamah Tinggi Kangar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mahkamah Tinggi hari ini mengkekalkan keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan seorang pengawal keselamatan, Chongkul Echang atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang kakitangan Mahkamah Syariah di sini pada 2021.

Hakim Dr. Arik Sanusi Yeop Johari membuat keputusan itu selepas mendapati rayuan pendakwaan tidak bermerit sekali gus mengesahkan keputusan dibuat Majistret pada Mei lalu.

“Setelah meneliti hujahan pihak-pihak dan nota keterangan, mahkamah mendapati bahawa rayuan ini ditolak dan keputusan Majistret lepas dan bebas responden (Chongkul) berusia 39 tahun dikekalkan,” katanya semasa membacakan keputusan di sini hari ini.

Prosiding rayuan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hadi Hakimi manakala responden diwakili peguam bela Opat Aisin dan Amnach Ee Niam.

Pada 6 Mei lalu, Majistret Ana Rozana Mohd Nor memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Selain itu, beliau turut bersetuju dengan hujahan peguam bela bahawa wujudnya unsur penggandaan pertuduhan sekali gus menjadikan pertuduhan cacat.

Majistret Ana Rozana turut memerintahkan Chongkul dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk dibela diri.

Sementara itu, Opat ketika dihubungi berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Katanya, berdasarkan prinsip undang-undang, pertuduhan dianggap cacat sekiranya wujud dua kesalahan dalam satu kertas pertuduhan.

“Penggandaan dalam pertuduhan adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah.

“Apabila berlakunya pertuduhan cacat, ia akan menyebabkan salah laksana keadilan dan memprejudis terhadap tertuduh,” jelasnya.

Beliau berkata, kes yang melibatkan anak guamnya adalah lebih kurang sama dengan keputusan dalam kes ‘basikal luncur’ Sam Ke Ting.

Pada 11 April 2023, Mahkamah Rayuan memutuskan tertuduh Sam Ke Ting dilepas dan dibebaskan atas alasan pertuduhan cacat.

Berdasarkan pertuduhan, Chongkul didakwa melakukan kesalahan di Jalan Padang Melangit, di sini pada pukul 9.30 pagi 2 Julai 2021 sehingga menyebabkan kematian terhadap Ku Kasa Ku Ahmad.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN