Penghantar makanan tidak mengaku salah langgar motosikal Koperal

Penghantar makanan tidak mengaku salah langgar motosikal Koperal

MUHAMMAD Shamil Md. Isa didakwa merempuh dan melanggar motosikal Honda yang dinaiki Koperal A. Rajaratnam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merempuh motosikal seorang anggota polis berpangkat koperal dalam kejadian di sini minggu lalu.

Muhammad Shamil Md Isa, 26, didakwa merempuh dan melanggar motosikal Honda yang dinaiki Koperal A. Rajaratnam, 48, yang mana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Segambut, Plaza Sri Dinar, pada pukul 11.45 malam, 21 Oktober lalu.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan dalam kes ini namun menyerahkan budi bicara kepada mahkamah (sekiranya ingin menetapkan jaminan),” kata Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi.

Peguam bela, Nurul Atikah Rusli yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jumlah ikat jamin yang rendah kerana tertuduh perlu menanggung ibu dan bapanya yang tidak bekerja.

“Mohon mahkamah memberikan jaminan yang bersesuaian dengan pendapatan tertuduh dan saya yakin, tujuan utama jaminan adalah untuk tertuduh hadir ke mahkamah,” kata Nurul Atikah.
Semasa prosiding, Hakim Hakim Azrol Abdullah bertanyakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Vivien bagaimana kejadian ini berlaku.

Vivien berkata, semasa kejadian tertuduh bersama kekasihnya menaiki sebuah kereta dan telah ditahan oleh anggota polis tersebut untuk pemeriksaan, namun tertuduh kemudiannya bertindak menekan pedal minyak sehingga merempuh motosikal mangsa.

Bagaimanapun, Vivien berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala motosikal mangsa yang dirempuh telah diseret oleh kereta tertuduh kira-kira 300 meter.

Hakim Azrol kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 2 Disember ini bagi sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN