Pemandu maut, lori tangki terbabas dalam parit - Utusan Malaysia

Pemandu maut, lori tangki terbabas dalam parit

KEADAAN lori tangki minyak yang terbabas menyebabkan pemandunya maut dalam kejadian di Kilometer 263.0, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pemandu lori tangki maut manakala kelindannya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam parit dalam kejadian di Kilometer 263.0, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 10.49 pagi.

Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dan Kuala Kangsar di atur gerak ke lokasi kejadian bagi tugas menyelamat.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki minyak tanpa muatan yang terbabas ke dalam parit dan terdapat dua orang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit segera dilakukan menggunakan peralatan menyelamat.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 12.13 tengah hari namun pemandu lelaki dianggarkan berusia 40-an disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, seorang lagi mangsa iaitu kelindan berusia 34 tahun pula parah akibat kecederaan di bahagian kaki.

“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera pula dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN