Isu MPT Bersatu akan diteliti sebelum sebarang tindakan diambil - Muhyiddin

Isu MPT Bersatu akan diteliti sebelum sebarang tindakan diambil – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meneliti isu peletakan jawatan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) termasuk Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah bagi mencari penyelesaian secara dalaman.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan memastikan semua maklumat berkaitan dikumpulkan dan diteliti sebelum sebarang keputusan atau tindakan diambil.

“Tidak apa, soal itu saya tidak ikut. Dia letak jawatan sebagai Ahli MPT, tetapi dia masih ahli Bersatu.

“Jadi saya akan dapatkan laporan lengkap mengenai kedudukan sebenar.

“Soal-soal sebelum ini dalam parti saya tak akan bincang banyak di luar,” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, hari ini.

Sebelum ini, Abu Bakar mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ahli MPT Bersatu bagi memberi tumpuan penuh kepada urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

Turut mengambil langkah sama menyerahkan surat peletakan jawatan pada minggu lalu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena merangkap Exco kerajaan negeri, Marzita Mansor.

Mengulas sama ada Bersatu akan terus kekal kukuh meskipun berdepan perkembangan berkenaan, Muhyiddin menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan parti itu akan kekal utuh.

“Insya-Allah,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, beliau yang hadir bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menunaikan tanggungjawab mengundi di SMK Sri Muar kira-kira pukul 10.30 pagi.

Katanya, beliau bersama isteri telah melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara dengan menunaikan hak mereka untuk memilih pemimpin menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya dan isteri telah melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara dengan mengundi di SMK Sri Muar pagi ini walaupun berdepan hujan lebat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjalankan amanah sepanjang proses pengundian berlangsung.

“Terima kasih kepada semua petugas pilihan raya yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi,” katanya.

Mengulas peratusan keluar mengundi, Muhyiddin berharap jumlah pengundi yang menunaikan tanggungjawab pada PRN Johor kali ini mampu melebihi 70 peratus walaupun beberapa daerah dilanda hujan lebat pagi ini.

“Saya berharap peratusan keluar mengundi PRN Johor hari ini melebihi 70 peratus sekali pun hujan lebat melanda beberapa daerah pagi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN