JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 90 laporan polis dan membuka 25 kertas siasatan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, sehingga semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, sebahagian besar daripada kertas siasatan yang dibuka itu hanya melibatkan perkara-perkara kecil yang tidak menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya, kes-kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes khianat yang melibatkan tindakan sabotaj oleh individu tertentu yang tidak bertanggungjawab.
“Kebanyakan kes yang disiasat melibatkan perbuatan mencabut, merosakkan serta membakar bendera parti politik dan barangan kempen lain yang berkaitan sepanjang tempoh berkempen lalu.
“Semua kes ini kini sedang dalam tindakan dan siasatan lanjut bagi mengesan pihak yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Molek, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad.
Sementara itu, mengulas berhubung tahap keselamatan keseluruhan hari pengundian, Mohd. Khalid berkata situasi pengundian di seluruh negeri berada dalam keadaan terkawal, baik dan berjalan lancar.
“PDRM telah mengatur gerak seramai 14,000 pegawai dan anggota di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk menerima bantuan kekuatan ‘manpower’ daripada kontinjen luar bagi memastikan keselamatan 2.7 juta pengundi.
“Mana-mana pihak atau pengundi yang mempunyai aduan atau ketidakpuasan hati sepanjang proses pengundian boleh tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan awal diambil segera oleh agensi-agensi berkaitan,” katanya.-UTUSAN








