KUANTAN: Pelaksanaan projek Pahang Orang Asli Corporation Sdn. Bhd. (Oraco) menimbulkan pelbagai persoalan tentang masa depan tanah adat masyarakat Orang Asli di negeri ini sama terjamin atau tergadai.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar mendakwa, walaupun Oraco diwujudkan sebagai badan yang mengurus dan membangunkan projek penanaman semula tanah Orang Asli, pelbagai pihak termasuk aktivis dan masyarakat tempatan mempertikai sama ada ia benar-benar memberi manfaat.
“Salah satu isu utama yang dibangkitkan masyarakat Orang Asli ialah kurangnya rundingan telus sebelum pelaksanaan projek oleh Oraco. Menurut aktivis Eliana Tan, projek yang diambil alih Oraco tidak mengikut prinsip persetujuan bebas, telus dan termaklum (FPIC), yang merupakan hak asasi masyarakat Orang Asli untuk terlibat dalam keputusan tentang tanah mereka sendiri. Ini melanggar hak mereka untuk menentukan nasib dan penggunaan tanah adat mereka.
“Malah, bekas senator Ajis Sitin turut menyuarakan kebimbangan yang sama, menggesa Oraco lebih berjiwa rakyat dan mengambil kira pandangan Orang Asli. Pelantikan Oraco sebagai agensi pengurusan dikatakan kurang melibatkan masyarakat tempatan dalam perbincangan dan banyak usahawan Orang Asli yang memohon untuk terlibat tidak diberikan peluang,” katanya di sini semalam.
Ahmad Azlan mendakwa, walaupun Oraco adalah syarikat milik kerajaan negeri, ia dikritik kerana kelihatan lebih menitikberatkan kepentingan perniagaan berbanding hak-hak adat masyarakat itu.
Dakwanya, pelaksanaan projek penanaman semula ladang dilihat lebih berorientasikan keuntungan dengan melibatkan syarikat luar dan bukan mengutamakan usahawan Orang Asli tempatan.
“Ini menimbulkan kecurigaan bahawa projek ini mungkin hanya menguntungkan segelintir pihak, sedangkan masyarakat asal yang menjadi penghuni tanah tersebut tidak diberikan perhatian sewajarnya.
“Situasi ini memberi gambaran bahawa pelaksanaan Oraco mungkin lebih menjurus kepada pengekangan hak ke atas tanah adat Orang Asli, berbanding memastikan tanah ini diuruskan dengan mengambil kira kepentingan warisan dan kebajikan penduduk setempat,” dakwanya.
Beliau mendakwa, projek Tanaman Semula Komersial (TSK) yang kini diambil alih Oraco, menimbulkan persoalan tentang hak terhadap tanah-tanah tersebut.
“Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif Oraco menafikan mereka mengambil alih tanah Orang Asal secara langsung, kenyataan ini sukar diterima oleh masyarakat Orang Asal yang merasa hak mereka semakin terpinggir. Projek ini dilihat usaha kerajaan untuk memanfaatkan tanah adat Orang Asal bagi keuntungan ekonomi tanpa melibatkan masyarakat tempatan dalam perancangan.
“Justeru, persoalan penting yang perlu dijawab ialah, apakah Oraco benar-benar menjamin hak tanah adat Orang Asal atau hanya mengutamakan keuntungan komersial,” katanya. – UTUSAN









