MALBATT selamat, UNIFIL aktifkan perlindungan dalam bunker

MALBATT selamat, UNIFIL aktifkan perlindungan dalam bunker

Anggota Malbatt 850-11 berlepas ke Lubnan pada November tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua anggota di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan, telah diarah menghentikan operasi rondaan atau pergerakan logistik sebaliknya kekal di penempatan masing-masing.

Arahan itu dikeluarkan UNIFIL susulan peningkatan ketegangan di Asia Barat sejak tiga hari lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, status semasa pasukan MALBATT 850-11 adalah dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kerosakan aset telah berlaku.

Katanya, mengambil kira keselamatan petugas, Markas UNIFIL juga telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu (bunker drill) mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal.

“Sebarang perancangan untuk penarikan balik pegawai dan anggota pasukan MALBATT 850-11 ke Malaysia adalah tertakluk kepada kelulusan UNIFIL berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman di dalam kawasan operasi.

“Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi di Selatan Lubnan dan akan mengemas kini sebarang perkembangan melibatkan pasukan MALBATT 850-11,” katanya.

Ketegangan di Asia Barat kini kian memuncak apabila Israel melancarkan beberapa siri serangan udara terhadap Lubnan sehingga mengakibatkan kematian Ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah di Beirut, tiga hari lalu.

Susulan itu, Iran dilaporkan mula bertindak balas terhadap kematian Hassan yang merupakan sekutunya dengan melancarkan serangan peluru berpandu balistik berkelajuan tinggi dengan menyasarkan Tel Aviv, Israel.

Kestabilan rantau Asia Barat kini tidak menentu apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengatakan tindakan Iran itu merupakan satu ‘kesilapan besar’ dan bertekad membalas serangan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN