PETALING JAYA: Kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan hak trafik udara baharu dari lebih 30 negara bagi bagi menggalakkan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa memperluaskan operasi ke destinasi ke negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sehubungan itu, kerajaan akan mengadakan rundingan perkhidmatan udara selain memperkemas serta mewujudkan Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) dengan negara-negara terlibat.
“Usaha ini diharapkan dapat mewujudkan permintaan pengembaraan yang tinggi dan seterusnya menggalakkan syarikat penerbangan tempatan serta antarabangsa untuk memperluas operasi penerbangan ke destinasi-destinasi di Malaysia.
“Selain itu, rundingan ASA antara negara-negara ahli Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi meningkatkan kesalinghubungan udara yang merupakan pemangkin kepada pembangunan negara.
Justeru, Rangka Tindakan Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia (MADB) diperkenalkan sebagai usaha ke arah penerbangan yang mampan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan sempena Persidangan Antarabangsa Rundingan Penerbangan Awam (ICAN) 2024, hari ini.
Terdahulu, Malaysia memeterai perjanjian ASA dengan negara Eswatini dan Suriname yang akan mewujudkan kerjasama dalam sektor pengangkutan udara.
Pada masa sama, Anthony berkata, penganjuran ICAN 2024 menunjukkan komitmen Malaysia terhadap program dan inisiatif ICAO berkaitan penghubungan antara udara, pertumbuhan pengangkutan udara dan rundingan dua hala serta pelbagai hala pengangkutan udara yang berjaya.
“Persidangan ini menyaksikan penyertaan lebih 700 delegasi dari 83 negara ahli ICAO, mewakili pihak berkuasa penerbangan awam, kementerian, jabatan, agensi, pemain industri utama dunia dan pakar-pakar bidang penerbangan.
“Selain itu, pelaksanaan ICAN 2024 turut melibatkan perbincangan meja bulat dan seminar-seminar anjuran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang memberi fokus kepada aspek keselamatan dan perlindungan pengguna dalam sektor pengangkutan udara.
“Delegasi ICAN 2024 juga berpeluang bertukar pandangan serta berkongsi input penting mengenai perkembangan terkini dalam industri penerbangan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










