PETALING JAYA: Daripada 842 pinjaman diberikan Kerajaan Persekutuan, sebanyak 262 atau 31 peratus mempunyai tunggakan bayaran balik berjumlah RM9.612 bilion.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2023, tunggakan yang dicatatkan sehingga 31 Disember tahun lalu itu berdasarkan Akaun Belum Terima (ABT).
“Amaun tunggakan terbabit terdiri daripada prinsipal pinjaman sejumlah RM6.970 bilion serta faedah pinjaman dan faedah lewat berjumlah RM2.642 bilion.
“Tempoh tunggakan pinjaman yang dikenal pasti adalah antara satu hingga 43 tahun,” katanya.
Berdasarkan rekod, ABT merupakan sejumlah amaun sepatutnya diterima kerajaan pada sesuatu masa berasaskan bil atau melalui dasar, perjanjian atau keputusan kerajaan yang berkuat kuasa.
Daripada keseluruhan tunggakan pinjaman RM9.612 bilion, tunggakan pinjaman melebihi enam tahun berjumlah RM5.198 bilion (54.1 peratus) adalah yang tertinggi.
Tunggakan berusia tiga hingga enam tahun berjumlah RM2.150 bilion atau bersamaan 22.4 peratus.
Bagi pelbagai ABT, katanya, pengusiaan melebihi enam tahun berjumlah RM23.214 bilion (50.6 peratus) adalah yang tertinggi, diikuti pengusiaan tiga hingga enam tahun berjumlah RM11.049 bilion (24.1 peratus).
“Analisis lanjut mendapati, daripada 262 pinjaman tertunggak adalah 75 pinjaman berjumlah RM4.791 bilion yang tidak pernah dibuat bayaran balik sejak Jadual Bayaran Balik berkuat kuasa antara 1981 hingga 2023,” katanya.










