PETALING JAYA: Lima negeri diramal bakal berdepan fenomena air pasang besar yang berkemungkinan boleh mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan.
Fenomena itu yang diramal bermula 18 Oktober ini melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Selangor dan dijangkakan berlarutan sehingga 21 Oktober.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, bacaan paras air laut di negeri ini dijangkakan meningkat sehingga mencecah ketinggian 5.8 meter pada 18 Oktober ini.
Katanya, keadaan ketinggian air bagi empat hari itu dilihat serius dan kerajaan negeri telah mengambil langkah sementara dengan menyediakan beg-beg pasir khususnya di kawasan pembinaan ban pantai di Selangor.
Di KEDAH: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Langkawi memberitahu, fenomena air pasang besar di negeri ini berlaku selama tiga hari bermula 18 Oktober ini.
Katanya, banjir berpotensi untuk berlaku sekiranya berlaku pertembungan air pasang, angin kencang dan hujan lebat pada satu masa.
Berdasarkan infografik yang dimuat naik di laman sama, selain Langkawi daerah lain yang turut berdepan fenomena sama adalah Kubang Pasu, Kota Setar, Yan dan Kuala Muda.
“Di Langkawi membabitkan Kampung Bakau Kelibang, selain itu Kampung Kuala Kerpan, Kuala Jerlun dan Kuala Sanglang (Kubang Pasu), Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota, Taman Sri Putra dan Sri Pantai (Kota Setar).
“Daerah Yan pula membabitkan Kampung Kuala Raga, Kuala Sala, Kuala Sungai Yan Kechil, diikuti Kampung Paya, Huma, Sungai Yu, Bukit Kechik, Kepala Tanjung, Tukang Jusoh dan Sungai Meriam (Kuala Muda),” katanya.
Pada 18 Oktober ini, bacaan paras air laut tertinggi dijangka mencecah tiga meter (m) pada jam 1.01 pagi manakala 1.10 petang menurun kepada 2.8m dan berada pada paras 0.9m pada 10 malam
DI PULAU PINANG: Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Datuk Mohd. Nazri Yasmin berkata, negeri tersebut dijangka mengalami fenomena air pasang besar antara 18 hingga 21 Oktober ini.
Menurutnya, paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang dijangka mencecah antara 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) dan waktu puncak air pasang besar itu adalah antara tengah malam hingga awal pagi.
DI PERLIS: Gelombang kedua banjir akibat air pasang dengan dengan ramalan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.7 meter yang sekali gus bakal memberi impak lebih besar.
Fenomena air pasang itu dijangka pada 16 sehingga 19 Oktober ini dan jika berlaku pertembungan dengan hujan lebat ia bakal mengundang banjir lebih besar khususnya di beberapa kawasan di sekitar negeri.
DI PERAK: Satu notis mengenai fenomena air pasang besar di kawasan Daerah Hilir Perak di sini tersebar dan berdasarkan ramalan oleh agens-agensi bertanggungjawab, fenomena air pasang besar akan berlaku bermula 15 hingga 21 Oktober dengan paras air tertinggi antara 3.1 hingga 3.4 meter.
Kawasan yang berisiko tinggi di sini adalah di Taman Karentina, Batak Rabit, pekan Teluk Intan, Kampung Bahagia, Changkat Jong, kawasan Mukim Durian dan kawasan berdekatan sungai. – UTUSAN










