KUANTAN: Gara-gara terkejut mendengar dikenakan waran tangkap seorang suri rumah kerugian sehingga RM104,000 duit simpanan ASB dan Tabung Haji.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 54 tahun dan berasal dari Raub itu mula menerima panggilan individu yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis pada 15 September lalu.
Menurut beliau, pemanggil mendakwa suri rumah itu terlibat dengan permohonan tuntutan insurans palsu, rasuah dan pengubahan wang haram dan dikenakan waran tangkap.
“Terlalu takut dengan dakwaan itu mangsa mengikut arahan kedua-dua pemanggil itu dengan menukar kad bank baharu sebelum menyerahkan segala maklumat perbankan miliknya itu.
Katanya, mangsa juga memindahkan wang simpanan dari akaun ASB dan Tabung Haji ke akaun simpanan seperti disuruh kedua-dua pemanggil berkenaan.
“Semalam, mangsa membuat semakan di bank dan mendapati wang dalam akaunnya lesap iaitu sebanyak RM103,517.59,” kata beliau. – UTUSAN










