PETALING JAYA: Kesejahteraan ekonomi Asia Tenggara, pertikaian antara negara dan isu kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya di Arakan, Myanmar dijangka menjadi antara tumpuan utama bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 serta ke-45 pada tahun depan.
Pakar Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, Malaysia selaku pengerusi persidangan tersebut akan memacu ke arah peningkatan dan kesejahteraan ekonomi.
Kata beliau, gagasan tersebut pernah dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1996 melalui penerbitan bukunya berjudul The Asian Renaissance.
“Saya lihat akhir-akhir ini, Perdana Menteri ada mencetuskan semula idea tersebut, ini menunjukkan bahawa arah yang beliau akan pacu bagi persidangan ASEAN pada tahun depan adalah kepada soal kesejahteraan dan kestabilan ekonomi.
“Di tambah pula, memang Perdana Menteri sedang membuat reformasi ke atas ekonomi negara, ini boleh dilihat melalui pencapaian kita setakat ini. Jadi kita memerlukan sistem sokongan yang baik terutama dari negara-negara jiran atau sekeliling,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Malaysia sekali lagi diberi pengiktirafan menjadi pengerusi bagi Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun depan.
Peluang itu membolehkan Malaysia mengetuai rantau ASEAN dalam memperkukuhkan kerjasama dengan kuasa besar dunia, terutamanya dalam menangani cabaran kritikal di peringkat serantau dan global yang semakin mendesak.
Anwar berkata, penubuhan ASEAN hampir enam dekad itu adalah atas dasar keamanan, kestabilan serta kemakmuran, justeru Malaysia selaku pengerusi akan meneroka dan meluaskan perkongsian ekonomi di luar sempadan.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Mizan berkata, pertikaian yang berlaku antara negara-negara Asia Tenggara dan isu kemanusiaan melibatkan etnik tertentu akan menjadi fokus kedua supaya isu yang berlarutan itu dapat diselesaikan melalui platform ASEAN.
Katanya, Malaysia perlu bersedia untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan konflik-konflik yang wujud di benua ini.
“Kita perlu berusaha menjadi orang yang mampu menyelesaikan pertelagahan, pertindihan isu dan sebagainya di peringkat ASEAN.
“Jika perlu, kita boleh tubuh satu sekretariat untuk menyelesaikan ia dengan kita menjadi pengerusi supaya banyak isu yang berlaku dapat diselesaikan atau perkara yang sudah berlarutan terlalu lama akibat tiada penyelesaian dapat dinoktahkan melalui persidangan ini,” jelasnya. – UTUSAN










