ALOR SETAR: Seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang didakwa memperdaya Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal baru-baru ini telah dipanggil untuk memberi keterangan susulan laporan dibuat NGO itu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya tidak membuka kertas siasatan memandangkan wang sumbangan itu sudah dipulangkan.
Menurutnya, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak sebelum ini berhubung penipuan didakwa dilakukan individu sama di daerah itu.
“Pihak polis tak buka kertas siasatan dengan wang itu pun sudah dipulangkan. Dia dipanggil untuk memberi keterangan dan sebelum ini tiada laporan polis dibuat terhadapnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Akhbar ini melaporkan, taktik seorang pelajar IPT yang mengaut keuntungan dengan berpura-pura menjadi miskin untuk mendapatkan wang didakwa bagi tujuan bermain judi dalam talian terbongkar selepas perbuatan itu dikesan sebuah NGO.
Zuraini yang juga pengasas CSM membuat laporan polis selepas pelajar itu memperdayanya dengan bermodalkan cerita sedih, kononnya tidak dapat membayar yuran pengajian sebanyak RM5,000.
Atas dasar simpati, Zuraini memuat naik hantaran di Facebook bagi mengajak orang ramai membantu pelajar berkenaan sehingga dia menerima sumbangan lebih RM1,700 dalam tempoh sejam.
Zuraini bagaimanapun terkejut setelah dia dihubungi beberapa pihak termasuk pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta NGO dari Pulau Pinang yang mendakwa pelajar itu pernah tular dalam kalangan masyarakat Cina kerana menipu. – UTUSAN