LANGKAWI: Seorang kakitangan Eagle’s Nest SkyWalk di Gunung Mat Chincang, di sini dikhuatiri hilang selepas dia terjatuh semasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, tengah hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Khairul Nizam Jaffar, 41, yang bertugas sebagai juruteknik penyelenggaraan di tempat tarikan pelancongan itu masih belum ditemukan setakat ini.
Ketua Zon 4, Langkawi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata, mangsa terjatuh dari tingkat dua platform kaca di lokasi itu.
“Pihak bomba menerima panggilan pada pukul 1.15 tengah hari tadi memaklumkan mangsa terjatuh daripada ketinggian kira-kira 40 ke 50 meter (m).
“Seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Matsirat dan lapan anggota BBP Langkawi digerakkan ke lokasi dan mereka kini dalam usaha untuk mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Rapid Rescue Vehicle (RRV), sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) turut berada di lokasi kejadian.
“Dikhabarkan cuaca hujan ketika kejadian terbabit berlaku namun tidak lebat dan anggota bomba akan turun ke bawah gunung untuk mencari mangsa,” ujarnya.
Eagle’s Nest SkyWalk merupakan tarikan terbaharu di puncak Gunung Mat Chincang yang beroperasi bersebelahan dengan perkhidmatan kereta kabel Langkawi. – UTUSAN