PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin kerjasama semua parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi peluang kepada gabungan itu menang lebih dua pertiga kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, kejayaan untuk memenangi lebih dua pertiga kerusi itu memerlukan komitmen seluruh anggota GRS, bukan hanya PBS.
Katanya, kerjasama komponen dalam GRS adalah faktor penting untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, GRS juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk parti dari Semenanjung Malaysia.
“Kita tiada halangan berkerjasama dengan mana- mana parti termasuk dari Semenanjung namun, parti lokal sepatutnya menjadi dominan untuk memerintah Sabah.
“Parti lokal adalah parti yang memahami keinginan rakyat di negeri ini. Peranan dan ia penting untuk memastikan Sabah tidak terpengaruh oleh kuasa luar dan terus menikmati kemajuan,” katanya semasa Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS kali ke-39, di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, semalam
Mengulas lanjut katanya, beliau mahu perwakilan Pemuda dan Wanita PBS terus menyokong sepenuhnya kerjasama yang terjalin dalam GRS.
Katanya, menjelang PRN akan datang, semua perwakilan perlu bersiap sedia dari sekarang terutama di kawasan-kawasan yang telah dimenangi oleh PBS. Ia bagi memastikan perjuangan parti itu terus relevan dengan keperluan rakyat Sabah.
“Di kawasan yang belum mempunyai wakil rakyat, saya mencadangkan agar calon yang sesuai dikenal pasti lebih awal. Di samping itu, kita juga perlu memberi sokongan penuh kepada sesiapa yang bakal menjadi calon GRS,” katanya.
Mengenai desas-desus bahawa PBS-STAR Sabah mungkin bekerjasama dengan pihak lawan, Joachim menafikan khabar angin tersebut dan memberi jaminan bahawa ia tidak akan berlaku. – UTUSAN










