KUALA LUMPUR: Enam ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd. akan dituduh di mahkamah atas pertuduhan melakukan amang seksual dan pemerdagangan orang di Johor, esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan berkaitan jenayah seksual akan dijalankan ke atas seorang pekerja resort milik GISBH yang beroperasi di Kota Tinggi, Johor.
Katanya, lelaki yang berusia 20 tahun akan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Mangsa dalam kejadian itu adalah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dengan kejadian dilaporkan berlaku sebanyak dua kali iaitu pada 1 dan 3 Jun lalu.
“Suspek dijadualkan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada pada 8.30 pagi esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, lima lagi individu termasuk dua yang masih bebas akan dituduh di mahkamah sama, esok atas kesalahan pemerdagangan orang.
Menurutnya, tiga individu termasuk seorang wanita, masing- masing berusia 28, 31 dan 57 tahun akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, esok.
“Salah seorang daripadanya adalah pengurus di resort milik GISBH yang beroperasi di Kota Tinggi, Johor.
“Ketiga-tiga mereka akan didakwa bersama dua lagi suspek wanita yang masih bebas berusia 60 dan 36 tahun.
“Semua akan dituduh mengikut Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang akan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya.
Razarudin berkata, terdapat empat mangsa dalam kejadian ini terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 30 hingga 57 tahun yang mana mereka menjadi mangsa eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman.
“Kesemua mangsa dalam kejadian ini bekerja sebagai pembantu di resort berkenaan,” katanya.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas kertas rujukan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober lepas dan hasil perbincangan dalam mesyuarat penyelarasan tindakan Jenayah Terancang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) semalam.
“Mereka ini turut didapati mengeksplotasi dengan cara perkahwinan paksa dan dijodohkan dengan peringkat atasan, tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit dan dihalang berkomunikasi dengan dunia luar.
“Selain itu, pasangan hanya boleh berjumpa sekali atau dua dalam tempoh sebulan dan kanak-kanak lima tahun ke atas akan dipisahkan daripada ibu atu bapa dan ditempatkan di rumah amal,” katanya.
Razarudin berkata, seorang lelaki berusia 28 tahun yang akan didakwa esok turut akan disiasat lanjut berkait kes di Rawang mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. – UTUSAN










