PETALING JAYA: Kegagalan memahami budaya masyarakat majmuk tempatan menjadi punca sesetengah pusat beli-belah dan premis perniagaan mengutamakan sambutan Halloween yang biasanya dirai di negara Barat berbanding perayaan Deepavali.
Pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan Malaysia, Uthaya Sankar SB berkata, situasi itu dapat dilihat saban tahun apabila pemilik premis perniagaan dan gedung beli-belah mengutamakan perhiasan Halloween berbanding Deepavali.
Menurutnya, kali ini lebih parah kerana mereka membuat perhiasan Halloween yang langsung tidak ada kaitan dengan sebarang agama yang dianuti orang Malaysia.
“Jika mereka menggunakan akal rasional, tentulah perhiasan menjelang sambutan Deepavali wajar dan patut diberi keutamaan,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau mengulas tindakan sesetengah pusat beli-belah yang mengutamakan promosi sambutan Halloween, perayaan yang dikaitkan dengan masyarakat Kristian di negara Barat yang kebetulannya juga diraikan pada penghujung Oktober.
Malah pusat beli belah berkenaan juga mengajak orang ramai datang ke acara berkaitan dan menyertai pelbagai permainan yang berkaitan dengan sambutan itu serta promosi minuman beralkohol.
Mengulas lanjut, Uthaya berkata, langkah itu juga tidak mustahil mempunyai agenda tersembunyi daripada pihak tertentu yang secara sengaja dan penuh sedar melakukan perkara ini.
Jelasnya, mungkin hal ini terjadi semata-mata untuk menimbulkan kemarahan kaum India yang beragama Hindu.
“Saya harap pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan perhiasan Halloween diturunkan atau dikurangkan.
“Kepada orang ramai khususnya masyarakat India, jangan terlalu beremosi sehingga masuk ke dalam perangkap pihak yang nampaknya sengaja mahu kaum India bertindak agresif dalam isu ini,” ujarnya. – UTUSAN










