HULU TERENGGANU: Dua beradik iaitu anak kepada suami isteri yang maut dalam nahas jalan raya di Gua Musang, Kelantan, Jumaat lalu kini tinggal bersama nenek mereka di Kampung Payang Kayu, dekat sini.
Hasmah Abu Bakar, 63, berkata, dia mengambil tanggungjawab menjaga dua cucunya, Nur Jihan Irdina Mohd. Junaizi,13, dan Nur Anis Zahra Nazihah,12, dengan dibantu ahli keluarga yang lain.
Menurutnya, hubungan mereka rapat memandangkan sebelum ini tinggal berdekatan di kampung sama dan cucu-cucunya memanggilnya ‘mak’.
“Menantu, arwah Mohd. Junaizi Jusoh, 48, orang Pantai Batu Buruk dan menetap di kampung ini setelah berkahwin dengan anak saya, arwah Shazwani Ismail, 39.
“Nur Jihan Irdina Mohd. Junaizi dan Nur Anis Zahra Nazihah sering datang ke rumah pada hujung minggu atau cuti sekolah.
“Hubungan adik beradik ini dengan bapa serta ibu saudara rapat. Kami akan sama-sama curahkan kasih sayang dan jaga amanah ini dengan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam kemalangan Jumaat lalu, empat sekeluarga iaitu Mohd. Junaizi dan Shazwani serta anak mereka, Muhammad Fakrul Danish Mohd. Junaizi, 18, maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Kilometer KM 86 Jalan Gua Musang-Lojing, di Gua Musang, Kelantan,
Turut terbunuh Farhana Ismail, 35, iaitu adik Shazwani dan pemandu lori jenis Nissan, G. Mageswara, 53.
Kata Hasmah, segala perbelanjaan dan keperluan dua cucunya itu juga akan diambil tanggungjawab secara bersama ahli keluarga lain.
“Nur Jihan Irdina masih diberikan cuti dan akan pulang ke asrama di Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu pada hujung minggu ini iaitu selepas Hari Deepavali,” katanya. – UTUSAN










