Bukan masa sesuai untuk laksana Cukai Warisan

Bukan masa sesuai untuk laksana Cukai Warisan

LANGKAH memperkenalkan Cukai Warisan menyebabkan waris khususnya dalam kalangan kaum Melayu terperangkap dalam keadaan tidak dapat menjelaskan cukai atau duti yang bakal ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah memperkenalkan Cukai Warisan menyebabkan waris khususnya dalam kalangan kaum Melayu terperangkap dalam keadaan tidak dapat menjelaskan cukai atau duti yang bakal ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pengamal undang-undang, Datuk Ikbal Salam berkata, bebanan tersebut akan berterusan jika harta warisan tidak dapat dijual atau dicairkan dan boleh mengakibatkan pula pertelingkahan dalam kalangan ahli waris.

Justeru beliau berpandangan, dalam keadaan rakyat yang baru sahaja bangkit pasca Covid-19, maka 2025 bukanlah tahun yang sesuai bagi pelaksanaan Cukai Warisan.

“Pelaksanaan Cukai Warisan boleh menyebabkan ahli-ahli waris terperangkap dalam keadaan mereka tidak dapat menjelaskan cukai atau duti tersebut kerana sebahagian besar orang Melayu hanya mempunyai harta tak alih seperti tanah di kampung sebagai aset pusaka.

“Ini menyebabkan mereka terpaksa menjual pula tanah pusaka itu bagi menjelaskan bayaran Cukai Warisan. Bebanan akan berterusan jika harta warisan itu tidak dapat dijual atau dicairkan dan boleh mengakibatkan pula pertelingkahan dalam kalangan kalangan ahli waris,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada minggu lalu, akhbar ini melaporkan kerajaan dijangka memperkenal lima cukai baharu dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini antaranya Cukai Warisan, Cukai Makanan Berlemak atau Cukai Makanan Tidak Sihat dikenali sebagai Fat Tax, Cukai Penetapan Harga Karbon, Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) dan Kecerdasan Buatan (AI).

Pengenalan Cukai Warisan dikatakan untuk menghalang pengumpulan kekayaan yang tidak produktif dalam sebuah keluarga sekali gus membantu mengurangkan jurang kekayaan.

Mengulas lanjut, Ikbal berkata, pelaksanaan Cukai Warisan juga sama seperti mengenakan cukai berganda terhadap sesuatu aset.

“Apabila membeli harta kita telah pun dikenakan duti setem pindah milik, apabila tinggal di rumah dikenakan cukai pintu, apabila menjual harta dikenakan pula cukai keuntungan harta tanah malahan banyak elemen dilalui dalam kehidupan seharian berhadapan dengan bayaran cukai.

“Maka apabila kita mati janganlah pula ahli waris dibebani dengan bayaran yang wujud akibat kematian ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu memastikan Cukai Warisan tidak membebankan rakyat sekiranya mahu dilaksakan pada masa akan datang dan perlu membabitkan golongan tertentu sahaja.

“Misalnya hanya terpakai bagi golongan yang memiliki harta peninggalan yang banyak contohnya melebihi RM50 juta dan tidak lagi RM4 juta seperti yang dilaksanakan sebelum tahun 1991,” katanya.

Sebelum Undang-Undang Duti Pusaka 1941 dibatalkan kerajaan pada November 1991, duti harta pusaka dikenakan di negara kita adalah pada kadar lima peratus bagi aset melebihi RM2 juta dan 10 peratus bagi aset melebihi RM4 juta tertakluk kepada jumlah harta pusaka si mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN