KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dilihat sukar menang jika tidak menjalin kerjasama dengan parti tempatan Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ‘kemenangan yang dijangka’ itu dikatakan sudah pasti menjadi lebih utuh jika kerjasama diteruskan dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti tempatan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik parti tempatan yang perlu bersama dengan UMNO dan PH pada PRN nanti, namun menyatakan keterbukaan pihaknya untuk berunding, seterusnya bekerjasama dengan mana-mana pihak.
“Untuk kerjasama ini kita tidak nampak ada masalah, tetapi untuk menang perlu ada parti tempatan yang bersama mendukung kita dan perkuat jentera dalam pilihan raya. Ini kerana PRN ini akhirnya memerlukan angka, jadi apabila tidak ada angka, di situlah banyak parti yang berdepan dengan kekalahan.
“Sebab itu saya konsisten untuk kita perlu bekerja dengan mana-mana parti tempatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Terdahulu, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO secara prinsip sudah bersetuju BN Sabah menjalin kerjasama untuk membentuk pakatan dalam menghadapi PRN akan datang.
Beliau melihat strategi tersebut adalah kaedah terbaik untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, seterusnya dilanjutkan ke Sabah.
Mengulas tentang keterbukaan UMNO untuk bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan, Bung Moktar berkata, beliau akan memastikan kerjasama itu ikhlas dan tidak mengkhianati mana-mana pihak.
Ditanya peluang kerjasama itu turut terbuka bersama Parti Warisan Sabah (Warisan), beliau tidak menafikannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar turut berkata, tiada calon bidan terjun yang akan mewakili UMNO Sabah dan kesemua calon yang dikenal pasti itu adalah penduduk asal dan benar-benar berkhidmat di kawasan yang ingin ditandingi. – UTUSAN










