KUALA LUMPUR : Pihak pembelaan kepada isteri bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memohon pengguguran tiga pertuduhan rasuah melibatkan wang berjumlah RM2.8 juta yang dihadapinya.
Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Datuk Seri K. Kumaraendran, ketika dihubungi media, hari ini.
Difahamkan, Zizie Izette, 48, mengemukakan representasi tersebut pada 24 Disember lalu bagi memohon supaya tiga pertuduhan bersubahat itu digugurkan.
Ketika ini, Zizie Izette sedang menjalani tempoh iddah selepas suaminya meninggal dunia pada 5 Disember lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Perbicaraan peringkat bela diri yang dijadualkan berlangsung pada 27 November dan 3 Disember lalu, bagaimanapun ditangguhkan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, pada 29 November.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini telah menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh sebutan kes melibatkan Bung Moktar dan Zizie Izette berhubung pertuduhan rasuah berkenaan.
Menerusi semakan laman web mahkamah, perbicaraan pada peringkat bela diri sepatutnya bermula hari ini sehingga Rabu, namun Hakim Rosli Ahmad menangguhkan prosiding ke 16 Januari ini bagi menetapkan tarikh perbicaraan baharu selain membenarkan penangguhan yang dipohon pihak pembelaan.
Zizie Izette didakwa pada 3 Mei 2019 dengan tuduhan bersubahat dengan Bung Moktar, 66, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, dengan kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 5.00 petang, pada 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.
Pertuduhan ketiga, Zizie Izette dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.
Pada 7 September 2023, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette daripada ketiga-tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi mereka.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri.
Pada 18 November 2024, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette, serta mengarahkan kedua-duanya untuk membela diri.
Pada 22 Mei tahun lalu, pasangan itu gagal dalam usaha terakhir untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah terbabit. – UTUSAN










