KANGAR: Terminal Kuala Perlis perlu ditambah baik bagi mengatasi isu alur pelayaran cetek yang sering kali mengganggu operasi perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, kedudukan jeti tersebut tidak boleh dipindahkan memandangkan lokasinya adalah pintu masuk perairan ke negeri ini dan turut menjadi tumpuan pengunjung luar.
Bagaimanapun katanya, proses penambahbaikan perlu dilaksanakan di terminal itu antaranya dengan membina jambatan pejalan kaki menuju ke tengah perairan bagi mengatasi isu alur pelayaran cetek.
“Pada saya terminal jeti ini tidak boleh dipindahkan memandangkan ia adalah nadi buat Kuala Perlis dan turut menjadi pintu masuk ke negeri ini.
“Sebaiknya, proses penambahbaikan perlu dilakukan di terminal jeti ini dengan membina jambatan sepanjang satu ke dua kilometer yang dilihat lebih praktikal dalam menyelesaikan isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Laporan muka depan Mingguan Malaysia kelmarin mengetengahkan isu alur pelayaran cetek itu yang turut menjejaskan operasi perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi.
Situasi itu bukan sahaja memberi kesan terhadap operator feri tetapi turut menjejaskan aktiviti sekitar seperti perniagaan dan pelancongan negeri ini.
Biarpun kerja-kerja pengerukan selesai dijalankan pada September tahun lalu, usaha itu hanya bertahan empat bulan sebelum isu sama kembali membelenggu semula perkhidmatan feri di terminal berkenaan.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, kerja-kerja pengerukan itu merupakan satu pembaziran dan sewajarnya langkah lebih berkesan diambil dalam mengatasi permasalahan tersebut. – UTUSAN