Beras tempatan ajaib hanya ada ketika jualan Madani, PRK - Idris Ahmad

Beras tempatan ajaib hanya ada ketika jualan Madani, PRK – Idris Ahmad

SST
IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad mempersoalkan ke mana hilangnya beras tempatan sedangkan Perak adalah negeri yang menghasilkan padi yang banyak.

Idris berkata, daerah Kerian dikenali jelapang padi utama Perak yang dianggarkan menyumbang hampir 50 hingga 60 peratus daripada keseluruhan pengeluaran padi.

“Sumbangan kepada pengeluaran di peringkat nasional pula ialah 8 hingga 12 peratus. Malangnya beras tempatan tidak ada di Bagan Serai walaupun Kerian pengeluar padi.

“Kami duduk dalam guni beras tetapi tiada beras tempatan.

“Tahun ini pengeluaran padi sedikit meningkat kepada tiga hingga empat tan seekar berbanding tahun sebelumnya hanya satu hingga dua tan tetapi beras tempatan tetap tiada.

“Apa masalahnya beras tempatan tidak ada tetapi beras import yang ada. Ke mana pergi beras tempatan?” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Idris, beras tempatan hanya dapat dilihat ketika jualan Madani dan sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) sahaja.

“Beras tempatan ini pelik dan ajaib. Hanya muncul ketika jualan Madani dan sewaktu PRK.

“Kalau boleh kita minta PRK setiap hari, baru dapat beras tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN