PETALING JAYA: Banjir di sekitar kampus Universiti Malaya (UM) telah pulih dan semua laluan mula dibuka.
UM dalam kenyataan berkata, tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan berlaku dalam kejadian banjir akibat hujan lebat di kampus itu pagi tadi.
“Semua staf, pelajar dan pelawat kampus dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelakkan daripada terbabit sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan diri dan harta benda terperangkap dalam banjir.
“Pihak universiti akan memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan kampus terpelihara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dianggarkan 13 kawasan serta jalan raya di ibu negara ditenggelami air susulan hujan lebat sejak pagi tadi.
Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di media sosial memaklumkan kira-kira 13 kawasan terjejas dengan kejadian itu. – UTUSAN









