Alumni UPM kumpul RM500,000 bantu pelajar

Alumni UPM kumpul RM500,000 bantu pelajar

SULTAN Sharafuddin Idris Shah (tengah) berangkat menyempurnakan Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XII Tahun 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini menganjurkan Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XII Tahun 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), universiti berkenaan di sini.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, program tersebut memberi peluang kepada alumni untuk menyumbang ke Tabung Sumbangan Alumni bagi membantu pelajar UPM melalui biasiswa, dermasiswa dan bantuan kewangan pelajar.

Menurut beliau, majlis yang diadakan setiap dua tahun ini berjaya mengumpul sumbangan alumni sebanyak RM500,000 untuk dijadikan biasiswa, dermasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar.

“Program ini dilihat sebagai platform terbaik bagi menyemarakkan lagi semangat ‘Berilmu Berbakti’ dalam kalangan warga UPM untuk bersama dalam setiap program dan aktiviti yang dijalankan.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua alumni UPM yang hadir pada majlis gilang gemilang ini. Kebersamaan dan keterlibatan yang ditunjukkan secara simboliknya menyatakan komitmen penuh para alumni kepada program yang dijalankan oleh pihak universiti,” katanya.

Turut sama berangkat, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk bersama-sama menyempurnakan majlis makan malam tersebut.

Seramai 500 alumni UPM yang hadir ke majlis itu untuk bertemu semula serta memperkasakan jalinan perhubungan antara mereka.

Bagi edisi ke-12 penganjurannya, turut diadakan penyampaian anugerah Apresiasi Alumni, Anugerah Bakti Alumni, Anugerah Perkasa Alumni, Anugerah Mutiara Alumni, Anugerah Jasa Alumni dan Anugerah Apresiasi Alumni Antrabangsa, diberikan kepada alumni yang aktif dalam pelbagai program. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN